Cari @ Amanz

Di acara GTC, NVIDIA bukan sahaja mengumumkan kad grafik terkini mereka yang bakal menjadikan permainan video PC semakin meningkat prestasinya. CEO NVIDIA Jensen Huang turut berkongsi beberapa platform, sistem kecerdasan buatan dan cip NVIDIA DRIVE Thor untuk kegunaan automotif terkini keluaran syarikat.

NVIDIA DRIVE Thor ialah cip untuk kegunaan automotif terkini mereka menggantikan DRIVE Orin yang digunakan selama ini. DRIVE Thor dipasarkan sebagai cip super yang boleh melakukan kesemua tugasan yang selama ini memerlukan lebih daripada satu CPU pada sesebuah kenderaan.

Dengan kemampuan memproses mencecah 2000 TOPS, pengeluar kenderaan di masa hadapan boleh menggunakan hanya satu DRIVE Thor untuk sistem swapandu, infohibur, sensor, kawalan hawa kabin, elektrik dan banyak lagi. Dengan kata lain sistem ECU yang memerlukan puluhan cip digantikan dengan satu DRIVE Thor.

Kerana kemampuan memprosesnya yang tinggi, DRIVE Thor boleh diarahkan untuk menjalankan sistem operasi Linux, QNX dan Android secara serentak dalam sebuah kenderaan. NVIDIA menyasarkan DRIVE Thor akan digunakan oleh pengeluar kereta menjelang 2025 sama seperti cip DRIVE Atlan dengan 1000 TOPS yang dilancarkan tahun lalu.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd