Hanya beberapa minggu lepas, Logitech G Cloud Gaming Handheld ini tertiris dan akhirnya ia rasmi dilancarkan malam tadi. Ia adalah konsol mudah alih yang menjalankan sistem operasi Android yang memfokuskan kepada penstriman permainan awanan.
G Cloud Gaming Handheld hadir dengan skrin 7-inci FHD IPS LCD, 60Hz, dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 720G dan dipadankan dengan memori 4GB LPDDR4X RAM dan storan dalaman 64GB.
Konsol ini menjalankan Android 11 dengan sokongan Google Play Store, tetapi fokus utama adalah untuk akses kepada Xbox Cloud Gaming, Nvidia GeForce Now dan Valve Steam Link. Aplikasi pelayar web Chrome dan YouTube turut akan sedia terpasang. Setiap perkhidmatan penstriman permainan ini juga bukannya integrasi secara terus, sebaliknya hanyalah aplikasi web sahaja.
Logitech turut menyertakan pelbagai butang kawalan yang mirip alat kawalan Xbox seperti dua butang analog, D-pad, Y,B,A,X, beberapa butang tambahan untuk ke skrin utama, menu, butang bahu dan turut menyokong haptik dan giroskop. Konsol ini turut tidak menyokong kad SIM dan terhad kepada WiFi sahaja.
Bateri konsol ini adalah 6000mAh dengan dakwaan bertahan sehingga 12 jam. Logitech turut bekerjasama dengan Microsoft, Tencent dan Nvidia bagi menjayakan produk ini. Harga jualan adalah $349.99 iaitu sekitar RM1,598. Memandangkan perkhidmatan penstriman permainan tiada di Malaysia, jualan mungkin terhad di pasaran terpilih sahaja.