Cari @ Amanz

Antara keunikan pada iPhone 14 Pro dan iPhone 14 Pro Max adalah penggunaan skrin berlubang serba baharu sebagai pengganti kepada takuk. Apple menyertakan ciri Dynamic Island yang membolehkan lubang pada skrin ada ciri menarik untuk digunakan.

Melaluinya, iPhone 14 Pro adalah iPhone pertama yang menyokong multi-tugasan di mana beberapa aplikasi boleh dijalan serentak di atas aplikasi lain. Sejak pengenalan Dynamic Island ini, pembangun peranti Android turut cuba mengintegrasikan ciri lebih kurang sama pada peranti Android. Contoh tema MIUI untuk peranti Xiaomi dan semalam Realme mencari idea untuk integrasi ciri lebih kurang sama.

Terkini, seorang pembangun telah hadir dengan aplikasi dynamicSpot yang membolehkan ciri seumpama Dynamic Island boleh digunakan pada mana-mana peranti Android. Apa yang menarik dengan aplikasi ini adalah, pengguna bebas memilih apa jua aplikasi yang boleh dipaparkan dalam tetingkap terapung unik ini. Pilihan kustomasi turut ditawarkan seperti mengubah saiz dan posisi atau juga memaparkan notifikasi aplikasi padanya.

Aplikasi dynamicSpot ini masih lagi di peringkat awal pembangunan dan percuma untuk dicuba. Tetapi ciri premium turut disertakan dengan harga RM19.99 sekali bayar. Dalam cubaan saya pad Samsung Galaxy Z Flip4, aplikasi ini berfungsi cukup lancar untuk yang masih dalam fasa ujian.

Aplikasi Apple Music boleh dipaparkan dengan baik, perakam suara juga boleh dipaparkan serentak, dan paling menarik notifikasi pelbagai aplikasi turut boleh dipaparkan dan jika ditekan aplikasi akan terus dibuka. Kekurangannya di sini adalah, dynamicSpot hanya satu aplikasi yang dipaparkan dalam bentuk tetingkap terapung yang terpapar pada bahagian atas skrin dan menghalang banyak ikon-ikon di bar status.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd