Spesifikasi OnePlus 11 Pro Tertiris – Dijana Snapdragon 8 Gen 2, 50MP Dan 100W SuperVOOC

Diterbitkan pada Sep 22, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Beberapa minggu lepas, imej pengolokan peranti mercu baharu OnePlus telah tertiris, Peranti ini adalah OnePlus 11 Pro dan peranti ini akan mengembalikan suis lungsur ikonik serta menggunakan rekaan bonggol kamera bulat gergasi.

91Mobiles baru-baru ini telah mendedahkan spesifikasi penuh yang didakwa adalah untuk OnePlus 11 Pro. Peranti dilihat menggunakan skrin 6.7-inci QHD+ AMOLED dengan sokongan kadar segar semula 120Hz. Peranti akan dijana dengan cip Qualcomm baharu iaitu Snapdragon 8 Gen 2, dipadankan dengan memori sehingga 16GB RAM dan storan dalaman mencapai 256GB.

Untuk kamera, peranti dikatakan akan menggunakan konfigurasi tri-kamera daripada sensor 50+48+32 Megapixel dengan kamera swafoto 16 Megapixel. Besar kemungkinan, kamera mungkin akan menggunakan teknologi Hasselblad seperti OnePlus 10 Pro sebelum ini.

Bateri peranti dikatakan adalah 5000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 100W SuperVOOC, 50W lebih rendah berbanding OnePlus 10T sebelum ini. Peranti turut akan mempunyai pengimbas cap jari bawah skrin, sokongan Bluetooth 5.2, WiFi 6E, dan menjalankan Oxygen OS 13 berasaskan Android 13.

OnePlus dijangka akan melancarkan peranti ini pada suku pertama tahun 2023, tetapi jika mereka mengikut strategi OnePlus 10 Pro – peranti ini mungkin akan dilancarkan di China lebih awal sebelum pasaran global.

komen


© Amanz / 2022 Kami