Cari @ Amanz

Siri iPhone 14 telah diumumkan pada minggu lalu sebagai variasi baharu peranti pintar daripada Apple. Terdapat empat model berbeza yang diperkenalkan dan salah satu daripadanya adalah iPhone 14. Benar, tiada lagi penjenamaan mini untuk kali ini sebaliknya iPhone 14 merupakan model paling asas di dalam siri baharu ini. Bagaimanapun, pengenalannya telah dikritik segelintir pengguna kerana telefon pintar terbaharu ini seakan-akan tidak membawakan perubahan yang ketara berbanding model sebelumnya.

Ia menjadi bertambah hangat apabila turut menerima sindiran daripada anak mendiang Steve Jobs menerusi kemas kini meme di Instagramnya. Pada dasarnya, Apple sememangnya tidak melakukan perubahan yang besar dengan perubahan kecil pada komponen dalaman. Tapi persoalan yang perlu dijawab adakah perubahan-perubahan kecil yang diberikan Apple ini mampu menjadikan telefon ini perlu dibeli? Ini adalah pandang pertama kami untuk iPhone 14.


Spesifikasi Ringkas

Apple iPhone 14
Skrin6.1-inci Super Retina XDR OLED, 2532 x 1170 piksel, (460ppi), 60Hz
PemprosesApple A15 Bionic
Cip2-teras Avalanche
4-teras Blizzard
Cip GrafikGPU 5 Teras
RAM6GB LPDDR5
Muatan Dalaman128/256/512GB NVMe
Kamera Utama12+12 Megapixel f/1.5+f/2.4, Photonic Engine
Kamera Swafoto12 Megapixel f/1.9, AF, Photonic Engine
Bateri3279 mAh
Pengecasan berwayar 20W
Pengecasan MagSafe 15W
Pengecasan nirwayar 7.5W
SIM/TelefoniNano/5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas wajah Face ID
Harga JualanRM 4199 (128GB)
RM 4699(256GB)
RM 5699 (512GB)

Perkara pertama yang kami sedar mengenai generasi baharu ini, reka bentuknya tidak ada perubahan ketara susulan acuan yang sama seperti sebuah iPhone 13 masih dapat dirasai. Secara amnya, ia mewarisi saiz yang sama dengan iPhone 13 menerusi skrin 6.1-inci Super Retina XDR OLED dengan keterangan skrin mencecah 1,200 nits.

Bersama-sama dengannya ia turut menyokong sistem kawalan warna True Tone Display bagi memastikan paparan warna yang tepat pada skrin sepanjang masa. Secara peribadi, skrin ini bukan sahaja cantik dan terang, malahan mampu menawarkan warna yang hidup.

Cubaan menggunakan peranti di luar bangunan juga menunjukkan prestasi yang baik. Rekaan bezel dengan ketebalan yang sama dan sebahagian sisi bulat berjaya membuatkannya tampak lebih kemas. Skrin yang mantap dipadankan dengan kebolehan tatalan skrin yang baik. Ia sememangnya terasa lancar dan pantas meskipun ia tidak dimuatkan dengan kebolehan kadar segar semula yang tinggi. Cubaan singkat tidak menunjukkan sela masa berlaku dengan peralihan animasi yang baik. Ini adalah pengalaman yang boleh kita jangkakan daripada sebuah peranti iPhone.

Seterusnya, sisi tubuh rata dan berkotak yang digunakan sejak siri iPhone 12 masih dikekalkan. Kami berpendapat keputusan Apple ini bukanlah satu isu yang besar sebab inisiatif yang sama turut digunakan dalam kalangan pengeluar lain ketika ini. Melaluinya, peranti kekal cantik tanpa mengorbankan ciri ergonomik.

Kemudian bingkai logam pada bahagian sisi membuatkan peranti terasa sangat selesa dan kemas di dalam tangan. Digabungkan lagi dengan kemasan pusam yang mendominasi bahagian belakang peranti, pengalaman pengguna adalah jauh lebih praktikal.

Turut dikekalkan adalah takuk yang besar di bahagian atas skrin bertujuan bagi memuatkan kamera swafoto dan sistem Face ID. Sementara itu, buat mereka yang mungkin bertanya mengenai ‘Dynamic Island’. Kewujudannya hanya terdapat pada model iPhone 14 Pro dan iPhone 14 Pro Max sahaja. Anda boleh membaca lebih lanjut mengenainya menerusi artikel pandang pertama iPhone 14 Pro Max yang telah diterbitkan sebelum ini.

Di samping itu, susun atur butang standard masih dikekalkan pada ruangan yang sama dan mudah dicapai. Butang kuasa besar dengan kebolehan menyeru Siri diletakkan pada sisi kanan. Ia kemudiannya diikuti dengan butang laras audio, suis membisukan peranti dan slot untuk SIM pada sisi kiri.

Kualiti butang pada peranti iPhone tahun demi tahun tidak pernah mengecewakan. Sebuah port lighting boleh ditemui pada bahagian bawah yang diapit dengan dua pembesar suara stereo. Seperti biasa, tiada bicu audio 3.5mm yang disertakan.

Bergerak pula kepada bateri 3279 mAh yang digunakan sedikit lebih besar berbanding 3227mAh pada iPhone 13 sebelum ini. Melaluinya ia diiklankan mampu beroperasi mencapai 20 jam untuk penggunaan main baik video, sementara itu main balik audio pula boleh mecapai 80 jam lamanya. Sistem pengecasan 20W turut disokong oleh peranti yang menurut Apple mampu mengecas mencapai 50% dalam masa 30 minit.

Pengecas ini bagaimanapun perlu dibeli secara berasingan buat mereka yang baru pertama kali membeli peranti iPhone. Ini bukan suatu hal yang baharu kerana Apple tidak lagi menyertakan kepala pengecas di dalam kotak pembelian peranti sejak siri iPhone 12 sebelum ini. Tidak ketinggalan, pengecasan nirwayar menerusi Qi dan MagSafe turut disokong oleh peranti.

Ciri menarik lain yang turut dimuatkan pada iPhone 14 adalah Crash Detection. Ia merupakan ciri yang membolehkan peranti mengesan pelanggaran seterusnya panggilan kecemasan akan dibuat selepas 10 saat tanpa tindak balas. Tetapi perlu ditegaskan pelanggaran yang dimaksudkan di sini adalah berpunca daripada kemalangan jalan raya. Jika sebaliknya, peranti tidak akan dapat mengesan.

Contoh situasi adalah mudah, bunyi penggera dan penggera masa akan dimula sejurus peranti mengesan sebarang pelanggaran kereta yang teruk. Kemudian satu panggilan kecemasan kepada pihak yang sepatutnya akan dibuat berserta dengan maklumat mengenai lokasi kemalangan. Satu penafian di sini kami tidak pula mencubanya tetapi perkongsian ini adalah berdasarkan apa yang diterangkan oleh Apple sewaktu WWDC baru-baru ini.


Perisian & Penanda Aras

Sistem operasi iOS 16 digunakan adalah versi terkini yang ditawarkan oleh Apple. Secara amnya tiada perubahan yang besar pada antaramuka utama peranti kerana ia dilihat lebih menumpukan kepada penambahan ciri dan bukannya olahan semula antaramuka pada sistem. Kesemua elemen antaramuka masih lagi minimalis dan kemas, dalam masa sama mudah digunakan.

Ciri kustomasi skrin kunci seakan peranti Android turut ditawarkan yang membolehkan pengguna menyimpan tema peribadi dengan reka huruf sendiri. Seperkara yang mungkin mengecewakan adalah ketiadaan sistem Always On Display yang mungkin mengujakan segelintir pengguna. Tetapi tidak pada kami kerana sudah terbiasa dengan ciri ini pada peranti Android. Malahan, kami turut tidak menggunakannya kerana ia memberi kesan terhadap ketahanan bateri pada peranti.

Cip A15 Bionic yang digunakan adalah sama seperti model terdahulu. Sungguhpun begitu, kebolehan GPU telah ditambah baik yang kini mempunyai lima teras dan bukannya empat seperti sebelumnya. Ini sekaligus membolehkannya berprestasi lebih baik, dalam masa sama reka bentuk dalaman turut dikemaskini untuk kecekapan lebih baik. Peningkatan lain adalah kapasiti memori kini diselarikan kepada 6GB RAM untuk kesemua model iPhone 14 tahun ini berbanding hanya 4GB pada iPhone 13.

Pilihan storan pula berbeza bergantung kepada jenis model dan iPhone 14 boleh didapati dalam tiga variasi yang merangkumi 128GB/256GB/512GB. Seterusnya, keputusan ujian penanda aras Antutu dan Geekbench 5 turut menunjukkan jurang yang kecil untuk prestasi berbanding iPhone 13 sebelum ini. Sebagai perbandingan, kami turut menyertakan iPhone 14 Pro Max dan Samsung Galaxy X Fold4 bersama-sama dengannya.

Geekbench 5

  • Apple iPhone 14 – 1747/4786
  • Apple iPhone 13 – 1723/4639
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 1875/5469
  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 1298/3963

Antutu 3D

  • Apple iPhone 14 – 845,895
  • Apple iPhone 13 – 816,065
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 974,941
  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 980,346

WildLife Extreme

  • Apple iPhone 14 – 2,924
  • Apple iPhone 13 – 2,498
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 3373
  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 2798

Kamera

Tiada juga perubahan pada modul dan saiz sensor kamera untuk kali ini. Peranti dimuatkan dengan dua lensa kamera utama besar dalam susunan yang menyilang hujung yang satu dengan yang lain bersama satu LED Flash yang diletakkan bersama. Masalah peranti terjungkit tidak berlaku dengan penggunaan kerangka pelindung. Melaluinya, dwi-kamera 12MP untuk sensor utama bersama ultra-lebar digunakan dengan kebolehan zum 2X optikal dan 5X digital.

Kamera swafoto juga dikekalkan dengan sensor 12MP. Saiz sensor ini mungkin kelihatan sama tetapi terdapat beberapa penambahbaikan yang diberi seperti rakaman video dalam Cinematic Mode yang kini menyokong sehingga 4K HDR/30fps. Seterusnya, teknologi baharu dipanggil Photonic Engine turut diperkenalkan yang menurut Apple sangat membantu menjadikan foto kelihatan lebih baik.

Khususnya, fotografi dalam pencahayaan rendah tanpa kerisauan hilangnya butiran dan warna menjadi gelap. Ia berfungsi bergantung kepada tiga perkara yang merangkumi perkakasan kamera, pembelajaran mesin dan perisian. Ia boleh digunakan pada kamera utama dan swafoto.

Dalam masa sama, terdapat juga fungsi Action Mode yang diiklankan berguna untuk rakaman video seakan menggunakan gimbal. Tidak ketinggalan, kamera swafoto turut ditambahbaik dengan kebolehan autofokus yang berguna buat para pencipta kandungan di platform perkongsian video seperti TikTok, Facebook atau Instagram. Melaluinya, Apple menjanjikan tangkapan swafoto yang lebih tajam bersama elemen warna cukup menarik, di samping kebolehan dua kali lebih baik untuk gambar dalam pencahayaan rendah.


Kesimpulan

Apple iPhone 14 hanyalah sebuah iPhone 13 dengan perubahan kecil pada komponen dalaman. Antara pembaharuan yang diberikan adalah kebolehan GPU dipertingkatkan, kapasiti bateri lebih besar, tumpuan terhadap rakaman pencahayaan rendah lebih baik dan memori 6GB RAM yang kini diserlarikan untuk kesemua model.

Rekaan tubuh yang dikitar semula bukan suatu isu yang besar sebaliknya berjaya mengekalkan nilai premium pada peranti ini sendiri. Ia bukan sahaja selesa di gengaman malahan jelas membuktikan pengalaman penggunaan adalah seperti yang boleh kita jangkakan untuk sebuah peranti daripada Apple.

Cumanya kami berpendapat, tiada keperluan untuk seorang pengguna siri iPhone 13 untuk menaik-taraf kepada peranti ini kerana tiada perubahan ketara yang kelihatan. Prestasi cip A15 Bionic juga masih berkuasa setakat ini cuma kelebihan untuk iPhone baharu ini adalah GPU yang digunakan. Tetapi untuk ketahui mengenai prestasinya dengan lebih lanjut, kami akan berkongsi mengenainya dalam artikel ulasan yang akan datang. Dengan harga bermula RM4199, iPhone 14 kini sudah boleh dipratempah dan ketersediaannya di Malaysia adalah bermula 23 September 2022.

Pro

  • Rekaan premium & sedap di dalam tangan.
  • Pemproses A15 Bionic masih berkuasa.
  • Sistem kamera dengan mod terbina menarik.
  • Kamera swafoto dilengkapi autofokus.
  • Kapasiti bateri & memori lebih besar.

Kontra.

  • Pengecasan masih 20W sahaja.
  • Harga mahal untuk perubahan yang kecil.
  • Peningkatan prestasi cip yang kecil berbanding iPhone 13.
© 2023 Amanz Media Sdn Bhd