Lipas boleh dikatakan salah satu daripada serangga yang paling tahan lasak di dunia dan boleh menyelinap didalam pelbagai jenis ruang kecil tanpa masalah. Dengan ini, sekumpulan saintis dari syarikat penyelidikan teknologi Riken di Jepun telah berjaya menggunakan lipas sebagai sebuah robot carian bersaiz kecil.
Menurut Kenjiro Fukada, salah seorang daripada saintis dari Riken, mereka telah berjaya memasang sebuah filem sel solar dengan ketebalan 4 micron dan kelengkapan elektronik seperti komputer dan kamera kepada seekor lipas.
Dengan kelengkapan yang dipasang pada bahagian abdomen lipas ini, para saintis tersebut berjaya memberi arahan dan mengawal pergerakan lipas ini menggunakan isyarat elektrik yang dihantar ke bahagian belakang.

Lipas jenis Madagascar Hissing Cockroach menjadi lipas pilihan untuk beberapa sebab. Pertama ialah lipas jenis ini hadir dengan bentuk lebar yang membolehkannya untuk membawa lebih banyak kelengkapan elektronik, dan kedua ialah lipas ini tidak mempunyai sayap dan mengurangkan risiko bahawa kelengkapan tersebut akan jatuh.
Penyelidikan menggunakan serangga sebagai robot mencari dan menyelamat bukanlah sesuatu yang baru. Robot berbentuk serangga dilihat menggunakan tenaga bateri yang terlalu banyak. Penggunaan serangga sebagai robot dilihat lebih mesra bateri, kerana pergerakan dilakukan oleh serangga itu sendiri, dan komputer hanya digunakan untuk menentukan arah pergerakan.
Akan tetapi, konsep serangga robot ini masih lagi hadir dengan beberapa kelemahan yang perlu dibaiki, seperti mengecilkan saiz komponen elektronik yang digunakan, dan juga beberapa pepijat yang menyebabkan pergerakan seranggan ini tidak begitu menentu.
- Sumber
- Reuters