DJI Osmo Mobile 6 telah dilancarkan secara rasmi sebagai model baharu untuk barisan gimbal telefon pintar jenama berkenaan. Ia meneruskan tradisi model-model terdahulu yang direka untuk menstabilkan proses rakaman video atau foto yang diambil menggunakan telefon pintar.
Antara penambahbaikan yang disertakan untuk kali ini adalah reka bentuk lebih ergonomik untuk sokongan peranti bersaiz besar. Ia kemudiannya mempunyai rod sambungan terbina yang membolehkan proses zum dan fokus menjadi lebih mudah serta lancar. Sokongan tiga motor berkuasa dan algoritma canggih DJI pula turut dimuatkan padanya bagi memastikan peranti kekal stabil sepanjang proses merakam dilakukan.
Turut disertakan adalah ciri Quick Launch untuk pengguna iPhone, di mana ia akan memaparkan pemberitahuan aplikasi Mimo secara automatik bagi membolehkan akses kamera dengan serta merta. Panel status serba baharu membolehkan semakan tahap bateri dilakukan dengan mudah, kemudian ciri ActiveTrack 5.0 yang dinaik-taraf pula menawarkan penjejakan lebih stabil pada jarak lebih jauh.
Bagi yang berminat, DJI Osmo Mobile 6 dijual di Malaysia dengan harga RM759 seunit. Ia tersedia bermula hari ini menerusi kedai atas talian rasmi dan pengedar sah DJI di seluruh Malaysia. Dalam pada itu, DJI Mobile SE turut ditawarkan di Malaysia pada RM459.