Google telah mendedahkan peranti mercu baharu mereka sejak bulan Mei lalu lagi. Ia adalah Pixel 7 dan Pixel 7 Pro dan hanya rekaan sahaja yang diperlihatkan. Kedua-dua peranti ini disahkan akan dijana dengan cip pemprosesan Google Tensor G2 iaitu cip Google yang tersendiri generasi kedua.
Peranti ini sudah pun tertiris beberapa kali, malah prototaip turut pernah muncul di banyak laman e-dagang. Walaupun Google telah berkongsi rekaan peranti, rekaan skrin tidak pernah didedahkan secara rasmi sehinggalah baru-baru ini.

Melalui Facebook Group rasmi Pixel Superfans, Google buat pertama kalinya mendedahkan rekaan skrin peranti ini. Jika dibandingkan dengan Pixel 6, Pixel 7 dilihat menggunakan rekaan skrin yang lebih rata. Skrin turut mempunyai lubang untuk kamera swafoto dan dijangka akan kekal menyokong kadar segar semula 120Hz.
Pixel 7 dijangka akan menggunakan skrin bersaiz sekitar 6.3-inci, sementara Pixel 7 Pro sekitar 6.7-inci atau 6.8-inci. Maklumat lanjut hanya akan didedahkan di acara pelancarannya pada 6 Oktober nanti bersama-sama dengan Pixel Watch.