Cari @ Amanz

Hanya sekitar dua minggu sahaja lagi Google akan melancarkan Pixel 7, Pixel 7 Pro dan Pixel Watch mereka iaitu pada 6 Oktober akan datang. Harga Pixel 7 baru sahaja tertiris, sementara rekaan skrin dan rekaan penuh Pixel Watch sudah pun didedahkan baru-baru ini.

Pixel Watch akan menjadi jam tangan pintar pertama Google yang tersendiri. Jam ini dikatakan akan mempunyai integrasi Fitbit, mungkin mempunyai ketahanan bateri sekitar satu hari dan dijangka dijual pada harga permulaan lebih mahal daripada Apple Watch dan Samsung Galaxy Watch.

Baru-baru ini, 9to5Google melaporkan yang Google turut akan menawarkan muka jam istimewa khusus untuk Pixel Watch. Muka jam ini adalah melalui aplikasi Google Photos, di mana pengguna kelak boleh terus memilih mana-mana gambar dalam aplikasi ini untuk ditetapkan sebagai muka jam.

Malah, versi Google Photos terkini sudah pun mempunyai kemampuan menghantar gambar terus ke jam Wear OS yang mana dalam ujian saya ia boleh dilakukan pada Galaxy Watch5 Pro. Tetapi ciri ini dilihat hanya untuk meletakkan imej dalam galeri pada jam dan belum boleh lagi dipilih sebagai muka jam.

Ini bermakna, besar kemungkinan ciri ini akan ditawarkan kepada semua pengguna Wear OS akan datang dan Pixel Watch serta Galaxy Watch mungkin menjadi terawal yang menyokongnya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd