Carian
Program MetLife Hack4Job Coding Challenge Buka Peluang Kerjaya – Pendaftaran Adalah Percuma
September 24, 2022 Amy Maizuraa

Program MetLife Hack4Job Coding Challenge bakal membuka tirai tidak lama lagi dengan objektif utamanya yang mengalu-alukan lebih banyak bakat baru dalam bidang teknologi. Program di bawah kelolaan MetLife dengan kerjasama Jomhack, Microsoft, MDEC, Mystartup dan Invest KL Malaysia ini menyasarkan penyertaan di kalangan orang awam yang berminat dalam bidang pengaturcaraan (Coding) atau sewaktu dengannya.

Melaluinya, para peserta perlu mengenalpasti penyelesaian baharu yang inovatif untuk salah satu penyataan masalah yang bakal diumumkan sewaktu program berlangsung kelak. Menariknya lagi, program ini bukan sekadar menyediakan hadiah-hadiah menarik untuk dimenangi malahan turut sama membuka peluang kerjaya bersama MetLife yang tawarannya dilihat berkaitan dalam bidang kejuruteraan. Ini sekaligus memberi peluang kepada calon terpilih mengembangkan lagi kemahiran dalam menyediakan penyelesaian digital canggih yang semestinya kelak memudahkan orang ramai.

Program ini terbuka kepada mana-mana individu tanpa mengira kewarganegaraan tetapi peluang kerjaya kelak akan berpusat di Kuala Lumpur, Malaysia. Dalam pada itu, penyertaan adalah secara individu tanpa keperluan berkumpulan sebaliknya pihak penganjur yang akan mengumpulkan calon terpilih ke dalam kumpulan berdasarkan pilihan peranan yang dipilih. Segala hasil projek perlu dipersembahkan secara maya kepada para hakim pada suatu tarikh yang akan dinyatakan.

Program secara maya ini akan berlangsung bermula 14 – 16 Oktober. Penyertaan bagaimanapun telah dibuka selewat-lewatnya sehingga 7 Oktober dan ketersediaannya adalah percuma. Maklumat lanjut, sila layari pautan yang disediakan di bawah.

Komen