Kapasiti Bateri Xiaomi Civi 2 Kini Diketahui

Diterbitkan pada Sep 26, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Xiaomi kini dalam persediaan untuk hadir dengan penawaran baharu di bawah siri Civi. Melaluinya mereka bakal memperkenalkan Civi 2 yang mana pengenalannya dijadualkan berlangsung pada 27 September 2022. Menjadi kebiasaan dalam kalangan pengeluar untuk berkongsi maklumat mengenaui produk apabila menjelang pelancaran rasmi.

Sama seperti apa yang dibuat oleh Xiaomi yang kini mendedahkan kapasiti bateri pada Civi 2. Bateri sebesar 4500mAh akan digunakan dan ini adalah kapasiti yang sama seperti yang tedapat pada model terdahulu Civi 1. Peningkatan bagaimanapun boleh dilihat pada sistem pengecasannya yang kini menyokong kuasa output 67W secara berwayar. Melaluinya, peranti diiklankan mampu dicas penuh sekitar 40 minit dengan ketahanan yang panjang bergantung kepada penggunaan.

Dalam pada itu, Civi 2 juga dikhabarkan lengkap dengan cip Snapdragon 7 Gen 1 dan sistem penyejukan bersaiz besar yang menjanjikan pelepasan haba mencapai 200% lebih baik. Di samping itu, ia turut dimuatkan kamera hadapan 32MP dengan kebolehan ultra-lebar untuk rakaman lebih jelas. Lima pilihan penuras terbina turut disokong yang membolehkan hasil swafoto lebih pelbagai. Tidak ketinggalan, kamera utama juga menerima penambahbaikan dengan kebolehan rakaman malam lebih jelas.

Pelancaran rasmi kelak memperlihatkan peranti akan disertakan dengan kotak hadiah eksklusif bertemakan Hello Kitty. Jelas menunjukkan ia lebih menyasarkan dalam kalangan pengguna wanita. Kemudian, beberapa pilihan warna menarik turut sama disediakan sebagai pilihan. Untuk lebih lanjut nantikan pelancaran rasmi kelak.

komen


© Amanz / 2022 Kami