Carian
Bank Negara Malaysia Minta Bank Untuk Beralih Dari Penggunaan SMS OTP
September 26, 2022 Aman

Bank Negara Malaysia kini berkongsi beberapa perkara selari dengan Majlis Pelancaran Pameran Maya Jenayah Kewangan, terutamanya memfokuskan kepada penggunaan OTP untuk pengesahan pembayaran.

OTP menggunakan SMS sedia digunakan oleh institusi perbankan dalam menghantarkan kod pengesahan secara SMS, yang perlu di-input oleh pengguna untuk pengesahan transaksi. Namun, akhir-akhir ini, terdapat aplikasi berbentuk malware yang boleh membaca SMS tersebut, dan digunakan dalam mencuri duit daripada akaun pengguna.

Selari dengannya, kini Bank Negara meminta institusi kewangan untuk beralih daripada penghantaran OTP menggunakan SMS kepada kaedah pengesahan lebih kukuh.

Beberapa institusi kewangan seperti Maybank dan CIMB telah sedia beralih ke pengesahan menggunakan aplikasi, tetapi masih terdapat bank yang menggunakan ciri OTP ini.

Maybank Secure2U TAC

Disamping itu, BNM turut meminta pengguna untuk diberikan tempoh bertenang untuk pendaftaran kali pertama bagi perbankan atas-talian, atau apabila mengaktifkannya pada sesuatu peranti. Ketika tempoh ini, sebarang aktiviti perbankan atas-talian tidak akan dibenarkan.

Peralihan dan pengenalan ciri baharu ini dijangka dilaksanakan oleh institusi perbankan dan kewangan secara berperingkat – dan ada yang telah melaksanakannya pada hari ini.

Komen