Logitech G502 X Kini Di Malaysia – Tetikus Gaming Jitu, Lightspeed Dan RGB Pada Harga Bermula RM319

Diterbitkan pada Sep 26, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Logitech G adalah jenama barangan permainan video Logitech yang cukup popular. Mereka menawarkan pelbagai produk seperti set fon kepala, tetikus, papan kekunci dan baru-baru ini turut melancarkan konsol permainan mudah-alih yang memfokuskan platform penstriman permainan video.

Terkini di Malaysia, Logitech telah membawa masuk tetikus gaming kegemaran ramai iaitu siri Logitech G502 baharu yang merangkumi tiga model; Logitech G502 X, Logitech G502 X Lightspeed dan Logitech G502 X Plus.

Kesemua mempunyai spesifikasi lebih kurang sama di mana bezanya adalah model paling murah jenis berwayar, kemudian jenis nirwayar dan model paling premium adalah jenis nirwayar dengan sokongan RGB.

Tetikus gaming ini mengemaskini rekaan unik daripada model asal, dengan memperkenalkan suis hibrid optikal-hibrid baharu Lightforce. Suis ini menjanjikan pengalaman klik yang lebih pantas dan jitu. Logitech G502 X turut mempunyai butang DPI yang boleh diterbalikkan atau ditanggalkan untuk disesuaikan dengan pelbagai saiz tangan, roda tatal turut turut diubah agar lebih ringan, lebih stabil dan menyokong mod bergerigi seakan Logitech Master MX.

Logitech turut menggunakan sensor baharu, iaitu HERO 25K yang mendakwa mempunyai kadar kejituan 1:1 untuk penggunaan lebih pantas dan lancar. Tubuh tetikus juga direka semula untuk mengurangkan berat, tetapi kekal kukuh. Ketahanan bateri turut dipertingkatkan dengan kini menyokong sehingga 120 jam penggunaan sekali cas.

Logitech menggunakan teknologi Lightspeed pada siri G502 X Lightspeed dan G502 Plus untuk sokongan sambungan satu dongel dua peranti. Ini bermakna tetikus ini boleh digunakan bersama dengan papan kekunci G915, G915 TKL atau G715 tanpa perlu risau port sambungan yang tidak cukup. Pengecasan nirwayar turut disokong melalui Logitech G powerplay.

Model G502 X Plus menyokong Lightsync RGB dengan lapan LED yang boleh menyala dan bergerak mengikut corak penggunaan termasuk dengan status bateri. Jualan ketiga-tiga tetikus ini bermula bulan September di Malaysia dengan harga;

  • Logitech G502 X – RM319
  • Logitech G502 X Lightspeed – RM549
  • Logitech G502 X Plus – RM689

komen


© Amanz / 2022 Kami