Ramai Pengguna AirPods Max Melaporkan Masalah ANC Tidak Lagi Berfungsi Sejak Kemaskini 4E71

Diterbitkan pada Sep 26, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

AirPods Max adalah set fon kepala nirwayar Apple tersendiri yang pertama. Ia mempunyai rekaan yang premium, kualiti audio yang cukup menarik dan turut menyokong ciri pembatalan hingar aktif. AirPods Max dijual pada harga RM2,499 dan masih begitu harganya sejak dilancarkan dua tahun lalu.

Walaupun merupakan sebuah set fon kepala yang premium, ia tidak menyokong audio nirhilang sama ada dalam mod berwayar atau mod nirwayar. Malah menggunakan Apple Music untuk menstrim audio nirhilang juga tidak disokong padanya.

Terkini, ramai pengguna melaporkan yang kemaskini 4E71 telah menjadikan kualiti pembatalan hingar aktif AirPods Max semakin teruk berbanding sebelumnya. Ciri ini dikatakan seakan telah hilang atau tidak berfungsi langsung. Misalnya, apabila menaip pada papan kekunci boleh dengar bunyi setiap kekunci ditekan, atau bunyi bising di sekeliling juga menjadi lebih jelas walaupun mod ini diaktifkan.

Ada pengguna yang telah mendapatkan gantian daripada Apple turut kekal mengalami masalah yang sama. Kemaskini ini 4E71 ini diedarkan sejak bulan Mei lalu dan sehingga hari ini masih tiada kemaskini baharu yang membaiki isu yang ramai pengguna hadapi.

AirPods Max yang ada di makmal Amanz, turut mengalami masalah yang sama kerana saya masih ingat pengalaman penggunaan ketika mengulas set fon kepala ini. Mod pembatalan hingar aktif dan mati seakan tiada beza, sementara yang berfungsi hanyalah mod tembus bunyi sahaja.

Adakah ada di antara pembaca Amanz yang memiliki AirPods Max mengalami masalah yang sama?

komen


© Amanz / 2022 Kami