Cari @ Amanz

Infinix 180W Thunder Charge telah diumumkan dengan kebolehan mengecas bateri ke tahap 50% dalam hanya 4 minit. Namun begitu maklumat mengenai peranti yang bakal menyokongnya masih menjadi tanda tanya sehinggalah hari ini ia didedahkan menerusi laman Ali Express.

Ia mendedahkan yang mana Infinix Zero Ultra adalah peranti yang bakal menyokongnya. Hal ini boleh dilihat dengan jelas menerusi video pendek berdurasi 22 saat yang disertakan bersama. Dalam masa sama, bateri peranti ini turut boleh dicas semula menggunakan port sambungan USB-C.

Dari segi rekaan pula, ia menampilkan panel hadapan sejenis melengkung pada kedua-dua sisi bersama lubang untuk kamera swafoto. Skrinnya adalah sejenis OLED dengan kadar segar semula tinggi 120Hz. Turut disertakan adalah sistem tri-kamera di belakang dengan sensor utama 200MP yang menyokong OIS. Dalam masa sama, cip MediaTek Dimensity 920 turut digunakan sebagai tunjang utama peranti di samping bateri berkapasiti 4,500mAh.

Setakat ini, peranti dilihat sekadar disenaraikan tanpa pendedahan lanjut mengenai tarikh pelancaran dan harga jualan. Justeru itu, sama-sama nantikan perkembangan lebih lanjut mengenai peranti Infinix ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd