Vivo X Fold+ Dilancarkan Dengan Snapdragon 8+ Gen 1 Dan Lensa ZEISS

Diterbitkan pada Sep 27, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Vivo X Fold+ telah dilancarkan secara rasmi d China sebagai model kemas kini untuk peranti skrin boleh-lipat asal X Fold yang dilancarkan pada April lalu. Model ini lebih berkuasa kerana dilengkapi cip Snapdragon 8+ Gen 1, bateri lebih besar 4700 mAh dan menggunakan sistem pengecasan lebih pantas 80W.

Dari segi rekaan dan spesifikasi lain ia masih lagi sama dengan X Fold asal. Ini bermakna ia dilengkapi skrin 6.53″ OLED 120Hz, skrin dalaman boleh-lipat 8″ OLED 120Hz, memori 12GB RAM, dan storan sehingga 512GB.

Kamera utama 50MP sudut lebar dipadankan dengan 48MP ultra sudut lebar, 12MP telefoto dan 8MP telefoto dengan sistem zum periskop. Kesemuanya hadir dengan lensa ZEISS. Sementara itu kamera swafoto di luar pula sebesar 16MP.

Terdapat pelbagai mod yang mirip dengan yang ditemukan pada Z Fold4 seperti mod Flex, dan memaparkan imej pada skrin luar ketika menggunakan kamera. Satu perkara yang tidak ada pada Z Fold+ ialah kemampuan kalis air.

Di China Vivo X Fold+ dijual pada harga RMB 10,000 (~RM6432) untuk 12/256GB dan RMB 11,000 (~RM7075) untuk model 12/512GB dalam pilihan warna biru, hitam dan Huxia Red dengan panel kulit vegan.

 

komen


© Amanz / 2022 Kami