Lenovo ThinkStation P620 Akan Ditawarkan Di Pasaran Tempatan Pada Harga Bermula RM9999

Diterbitkan pada Sep 27, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Dunia kini sedang memasuki era perindustrian IR 4.0 dimana industri pembangunan dan pembinaan semuanya dilihat memanfaatkan kuasa perkomputeran untuk bukan sahaja merekacipta produk dan perkhidmatan baru, tetapi juga sebagai satu cara untuk melihat rupabentuk sesebuah objek sebelum ia dibangunkan secara nyata.

Olahan objek 3D realisitik secara lazimnya memerlukan kuasa perkomputeran yang hebat, dan dengan itu Lenovo telah mula memperkenalkan komputer desktop workstation terbaru dan paling berkuasa mereka, Lenovo ThinkStation P620.

ThinkStation P620 ini dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan AMD Ryzen Threadripper PRO 5000 dengan pilihan memori DDR4 sehingga 1TB dan juga storan kelas enterprise sebanyak 20TB yang cukup sesuai untuk penggunaan pengolahan kelas perindustrian.

Dari segi pilihan kad grafik pula, komputer ThinkStation P620 ini boleh memuatkan sebanyak dua kad grafik NVIDIA RTX A6000 untuk tugasan olahan grafik yang berkuasa dan pantas.

Komputer ini dilihat cukup berkuasa untuk tugasan-tugasan seperti pencetakan 3D industrial, kejuruteraan membalik, pembangunan teknologi peranti berhubung (IoT) dan sebagainya. Selain daripada itu, kuasa perkomputeran ini juga membolehkan untuk pengguna melihat olahan objek 3D secara masa nyata dari pelbagai sudut tanpa perlu risau mengenai isu lengah masa ataupun risau mengenai perisian yang akan dimatikan kerana kuasa pemprosesan yang tidak mencukupi.

Lenovo ThinkStation P620 ini juga hadir dengan pelbagai perisian seperti ThinkStation Diagnostics 2.0, ThinkShield, dan waranti selama tiga tahun untuk memastikan komputer ini berfungsi pada kadar optimum dan selamat sepanjang masa.

Lenovo Malaysia mengatakan bahawa Lenovo ThinkStation P620 ini akan tiba di Malaysia tidak lama lagi pada harga permulaan RM9999. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai komputer ini, anda boleh ke laman web Lenovo Malaysia.

komen


© Amanz / 2022 Kami