Intel hari ini secara rasminya telah memperkenalkan cip pemprosesan generasi ke-13 mereka dibawah Intel Core, untuk pengguna desktop. Sejumlah variasi ditawarkan, termasuk pilihan Intel Core “K”.
Cip paling berkuasa dibawah penawaran Gen-13 ini adalah Intel Core i9-13900K yang menawarkan kelajuan sehingga 5.8Ghz, sekaligus menjadikan ia cip pemprosesan terpantas untuk desktop pada hari ini, dengan rekaan 24 teras.
Secara keseluruhan, Intel mengatakan cip generasi ke-13 ini menawarkan prestasi yang dipertingkatkan sehingga 15% untuk tugasan ringan, sementara sehingga 41% untuk tugasan yang berat seperti pemprosesan video dan animasi 3D.
Intel dilihat memfokuskan penawaran kali ini kepada sokongan multi-tugasan tanpa masalah – terutamanya untuk tugasan yang berat dan memerlukan kadar pemprosesan tinggi.
Dengan sokongan ini juga, ia menawarkan prestasi permainan video yang berkuasa berbanding sebelumnya – termasuk dari segi kadar bingkai, serta pemprosesan permainan.
Untuk anda yang gemarkan lewahjam, ia boleh dilakukan dengan mudah melalui ciri Intel Speed Optimizer pada cip pemprosesan ini.
Intel mengatakan akan menawarkan cip Intel Core Gen-13 ini bermula bulan Oktober ini – termasuk bersama komputer baharu, atau secara berasingan. Harga jualan tempatan masih belum diketahui buat masa ini.