Tidak dinafikan, perbualan di aplikasi WhatsApp menjadi lebih pelbagai dengan adanya perkongsian berbentuk gambar dan video. Bercakap dengan lebih lanjut, WhatsApp kini sedang membangunkan mod kamera baharu pada aplikasi bagi menjadikannya lebih mudah untuk digunakan berbanding sedia ada.
Melaluinya WhatsApp kelak akan menyediakan dua butang baharu yang membolehkan pengguna menukar mod kamera daripada kamera ke video dan juga sebaliknya. Prosesnya dilihat lebih mudah berbanding versi sedia ada yang memerlukan pengguna mengetik seterusnya menahan untuk beberapa ketika untuk merakam video. Butang-butang ini boleh ditemui pada bahagian bawah pada ruangan kamera di aplikasi.
Bagaimanapun, ciri ini dikatakan masih lagi dalam pembangunan dan akan menerima beberapa penambahbaikan sebelum dilancarkan bagi versi penuh. Dalam masa sama, masih belum diketahui bilakah WhatsApp akan memperkenalkan ciri berkenaan.