Rekaan Google Pixel 7 dan Pixel 7 Pro didedahkan semasa acara Goole I/O 2022 pada bulan Mei lalu. Rekaan peranti dilihat masih lebih kurang sama dengan Pixel 6 dengan beza yang paling ketara pada bar kamera yang kini menggunakan aluminium dan sedikit perubahan pada susun atur kamera.
Dalam video acah baharu, Google memperlihatkan lagi rekaan peranti ini.
Dalam video ini Google mendedahkan beberapa pilihan warna peranti yang akan ditawarkan untuk Pixel 7 Pro iaitu Obsidian, Snow, dan Hazel. Obsidian adalah warna hitam dengan bar kamera hitam berkilat, Snow pula adalah putih dengan bar kamera perak, dan Hazel adalah warna hijau dengan bar kamera berwarna emas.
Skrin peranti dilihat sedikit lebih rata berbanding Pixel 6. Peranti ini akan dilancarkan secara rasmi pada 6 Oktober dengan jualan rasmi bermula sekitar 13 Oktober. Harga peranti dikatakan akan bermula dari $599 iaitu sekitar RM2,773. Cip pemprosesan dikatakan adalah Google Tensor G2 dengan binaan 4nm. Butiran lanjut hanya akan didedahkan pada cara pelancarannya seminggu lagi. Sama-sama kita nantikan.