Honor Magic 4 telah dilancarkan sebelum ini dengan beberapa penambahbaikan menarik untuk prestasi dan kemampuan kamera. Terdapat dua model yang tersedia tetapi pasaran Malaysia sekadar menerima penawaran Honor Magic4 Pro yang dijual pada RM3999 sebuah.
Bercakap dengan lebih lanjut, kini timbul desas-desus baharu mengenai kewujudan penggantinya pula iaitu Honor Magic5 dan Honor Magic5 Pro. Kedua-duanya dijangka menggunakan skrin AMOLED dengan saiz yang berbeza – di mana 6.78-inci pada Magic5 sementara itu variasi pro pula sebesar 6.81-inci. Turut disertakan adalah paparan LTPO berteknologi PWM Dimming dengan resolusi yang dipertingkatkan kepada 2K 120Hz.
Seterusnya, cip Snapdragon 8 Gen 2 juga besar kemungkinannya digunakan sebagai tunjang utama peranti. Ia bagaimanapun masih belum diumumkan secara rasmi, tetapi sekiranya dakwaan ini benar, ia bukan suatu hal yang mengejutkan. Malahan, kita sedia tahu siri Magic adalah peranti berspesifikasi mercu daripada Honor.
Sebagai tambahan, sistem kamera untuk kali turut akan dipertingkatkan dengan kebolehan rakaman imej lebih berkualiti bersama sistem penstabilan lebih baik. Tiada tarikh pelancaran khusus yang diketahui setakat ini. Tetapi pengenalannya dijangka berlangsung di antara bulan Mac atau April tahun hadapan.
Harus ditegaskan maklumat dikongsi masih lagi di peringkat ura-ura. Sama-sama kita nantikan perkembangan lebih lanjut dari masa ke semasa.