Volvo Memperkenalkan Sistem Mengesan Bayi Tertinggal Dalam Kenderaan

Diterbitkan pada Sep 28, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Tragedi anak tertinggal di dalam kenderaan berlaku saban tahun dengan kes mendapat perhatian media setiap kali ia berlaku. Kerap kali ibu bapa terlupa kerana mengejar masa dan tiada sistem yang wujud untuk memberikan amaran jika anak tertinggal. Bermula dengan Volvo EX90, Volvo akan menyertakan ciri ini pada kenderaan keluaran mereka.

Sistem radar akan mengesan kehadiran penumpang di hadapan dan di belakang sehinggalah ke ruang kargo. Selain penumpang manusia, haiwan yang tertinggal juga boleh dikesan oleh sistem Volvo ini. Sekiranya ia mengesan pergerakan di bahagian penumpang, konsol tengah kenderaan akan memberikan peringatan kepada pemandu untuk memeriksa terlebih dahulu sebelum kenderaan dikunci.

Jika kenderaan telah dikunci dan sistem mengesan pergerakan dalam kabin, sistem pendingin hawa serta pemanas akan diaktifkan secara automatik bagi mengelakkan penumpang diserang strok haba atau hipotermia.

Ini merupakan satu lagi sistem keselamatan pada EX90. Volvo telahpun mengumumkan sistem kamera yang mampu mengesan pemandu yang mabuk, mengantuk dan menggunakan telefon pintar akan digunakan pada EX90 yang dilancarkan November ini. Amaran akan diberikan sebelum kenderaan diberhentikan secara automatik jika pemandu masih gagal menumpukan perhatian ke jalan raya.

komen


© Amanz / 2022 Kami