Razer Mengacah Konsol Mudah Alih Mereka Yang Dijana Dengan Snapdragon G3X Gen 1 – Edge 5G

Diterbitkan pada Sep 29, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Qualcomm Snapdragon G3X Gen 1 adalah cip pemprosesan baharu khusus untuk konsol mudah alih. Kali pertama ia didedahkan adalah pada Disember tahun lepas, di mana Qualcomm bekerjasama dengan Razer untuk menghasilkan kit pembangun.

Terkini, cip ini dilihat sudah sedia untuk digunakan pada produk untuk dijual kepada pengguna. Verizon mengumumkan yang mereka telah bekerjasama dengan Razer untuk konsol mudah alih Razer Edge 5G yang menggunakan cip ini.

Konsol ini akan menjalankan sistem operasi Android, menyokong sambungan 5G Ultra Wideband, mempunyai butang kawalan fizikal, butang bahu serta sistem getaran yang realistik. Tidak banyak yang didedahkan lagi, tetapi spesifikasi konsol ini mungkin akan mempunyai persamaan seakan kit pembangun yang dilancarkan sebelum ini.

Antara kemampuan cip Snapdragon G3X Gen 1 ini boleh lakukan adalah sokongan skrin OLED HDR 120Hz, Snapdragon Sound, sambungan WiFi 6E, Bluetooth 5.2, kamera 1080p, sokongan sambungan USB-C terus ke kaca mata realiti terimbuh XR dan mampu menjalankan permainan grafik tinggi.

Besar kemungkinan Razer Edge 5G turut akan memfokuskan kepada platform penstriman permainan kerana sambungan 5G yang pantas dan turut akan menyokong permua grafik tinggi kerana menjalankan Android yang mungkin boleh dimuat turun melalui Play Store. Ia akan dilancarkan secara rasmi pada 15 Oktober akan datang di acara RazerCon 2022. Sama-sama kita nantikan.

Sumber: Verizon

komen


© Amanz / 2022 Kami