The OG App tular minggu ini kerana ia membenarkan pengguna Instagram menikmati pengalaman penggunaan aplikasi tanpa sebarang iklan, Reels dan susur masa yang boleh dikawal oleh pengguna. Selepas tular ia dengan pantas dimuat turun pengguna di Apple App Store dan Google Play Store.
Tetapi hari ini aplikasi telah ditarik dari App Store. Sementara itu akaun Instagram dan Facebook milik dua pembangun The OG App telah digantung oleh Meta. The OG App berfungsi dengan menggunakan API rasmi Instagram. Tetapi penggunaannya yang membolehkan perkhidmatan digunakan tanpa pengiklanan mungkin telah melanggar terma dan syarat penggunaan.
Aplikasi masih lagi berfungsi jika pengguna sempat dimuat turun ke peranti iOS. Aplikasi juga masih boleh dimuat turun pada Google Play Store semasa artikel ditulis. Un1Feed yang merupakan pembangun aplikasi mengatakan tindakan Apple membuang aplikasi mereka dari App Store adalah membantu Meta membuli pengguna.