Jika anda sedang mencari peranti pintar dan tablet yang hadir dengan spesifikasi yang cukup bagus untuk kegunaan harian pada harga yang lebih mampu milik, ZTE hari ini telah mengumumkan bahawa mereka telah mula menjual dua buah peranti baru di pasaran tempatan, iaitu ZTE Blade V40s dan juga ZTE Blade X10 Pro.

ZTE Blade V40s ialah peranti pintar dengan paparan AMOLED bersaiz 6.67 inci Full HD+, dikuasakan oleh cip pemprosesan Unisoc T618 yang mempunyai lapan teras, memori Fusion RAM 11GB (6GB+5GB) dengan storan sebesar 128GB.
Peranti ini juga tampil dengan sistem kamera tri-lensa yang terdiri daripada kamera utama 50MP, lensa kedalaman 2MP dan lensa makro 5MP yang menjanjikan kualiti gambar yang cukup baik sekali untuk kegunaan harian.
Diantara ciri-ciri tambahan yang diperlihatkan pada peranti ini juga ialah sokongan untuk teknologi NFC dan juga pengimbas cap jari yang membolehkan pengguna untuk mengakses kandungan peranti dengan cepat dan mudah.
Dengan bateri 4500mAH dan juga sokongan untuk pengecasan pantas 22.5W, pengguna juga tidak perlu begitu mengenai isu bateri kehabisan pada pertengahan hari.

Beralih kepada ZTE Blade X10 Pro, tablet ini hadir dengan paparan bersaiz 10.1 inci dengan resolusi Full HD dan dikuasakan dengan cip pemprosesan Unisoc SC9863A dengan memori sebanyak 4GB dan juga storan sebesar 64GB yang boleh dilanjutkan sehingga 256GB menggunakan storan MicroSD.
Tablet ini juga tampil dengan bateri sebesar 6000mAH dan disekalikan dengan aksesori papan kekunci Bluetooth dan pena stylus yang memudahkan penggunaan tablet ini tidak kira aktiviti yang dilakukan dengannya.

Pra-tempahan untuk ZTE Blade V40s dibuka hari ini di Shopee dan Lazada pada harga RM799, manakala tablet ZTE Blade X10 Pro juga boleh dibeli di platform-platform yang sama pada harga RM699.