Cari @ Amanz

Microsoft akan mengadakan acara pelancaran peranti-peranti Surface terbaru mereka pada 12 Oktober ini, dimana mereka dijangka akan memperlihatkan peranti seperti Surface Pro 9 dan Surface Laptop 5.

Terkini nampaknya pilihan spesifikasi untuk kedua-dua peranti ini telah tertiris ke arena web, seperti yang dilaporkan oleh WinFuture. Dari segi rekaan, peranti Surface Pro 9 ini tidak dilihat begitu berbeza dengan model-model sebelumnya, dimana rangka luaran masih lagi menggunakan aloi magnesium-aluminum.

Ia hadir dengan paparan PixelSense bersaiz 13 inci dengan resolusi 2880×1920 dengan kadar segar semula 120Hz dan dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan Intel Core i7-1265U dan Intel Core i5-1245U ataupun pilihan dengan vPro sekiranya anda membeli versi bisnes.

Ia juga tampil dengan pilihan memori LPDDR4X 8GB dan 16GB dan storan 128GB sehingga 1TB bergantung kepada model yang dibeli. Model bisnes dilihat hadir dengan pilihan sehingga 512GB.

Sama seperti Surface Pro 8 sebelum ini, Surface Pro 9 juga dilihat hadir dengan dua palam USB Type-C, dimana kedua-dua palam ini ialah juga palam Thunderbolt 4. Microsoft juga dilihat mengekalkan palam Surface Connect untuk tujuan pengecasan peranti.

Spesifikasi untuk Surface Laptop 5 juga tertiris, dimana ia tampil dengan paparan PixelSense 13.5 dan 15 inci dengan resolusi 2256×1504 dan 2496×1664.

Surface Laptop 5 juga dilaporkan dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan Intel Alder Lake yang sama seperti apa yang ditawarkan pada Surface Pro 9. Pilihan memori juga ditingkatkan dengan penambahan pilihan 32GB manakala pilihan storan kekal sama seperti Surface Pro 9.

Seperti yang diperkatakan sebelum ini juga, Surface Pro 9 akan tampil dengan pilihan cip pemprosesan ARM, dan dengannya sokongan untuk rangkaian 5G juga.

Mungkin lebih menarik lagi ialah Surface Pro 9 dilihat hadir dengan pilihan-pilihan warna baru seperti Platinum, Graphite, Forest, dan Sapphire. Seperti yang dikatakan sebelum ini, Microsoft akan memperkenalkan peranti-peranti tersebut pada acara 12 Oktober ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd