Anker Soundcore Liberty 4 merupakan set fon telinga nirwayar dengan tubuh seumpama Apple AirPods Pro. Melaluinya ia menampilkan rekaan fon telinga jenis dalam telinga bertangkai bersama putik silikon. Turut disertakan adalah pod pengecasan berkotak dengan mekanisme penutup gelongsor.
Menarik mengenai fon telinga ini adalah sokongan teknologi untuk memantau kadar degupan jantung terbina- sekaligus menjadikannya bersesuaian untuk mereka yang mementingkan gaya hidup cergas. Sama ada digunakan sewaktu bersenam atau aktiviti biasa, ia dikatakan mampu menjejak data harian dengan baik dan pemasangan aplikasi Soundcore pada peranti adalah diperlukan untuk pengalaman penggunaan lebih menyeluruh.

Seterusnya, dua set pemacu audio dinamik digunakan yang diiklankan mampu menyajikan pengalaman audio cukup jelas bersama bass yang memuaskan. Putik silikon serba baharu turut digunakan bagi memastikan keselesaan pengguna. Turut disertakan adalah sokongan Multipoint Bluetooth bersama sistem pembatalan hingar aktif (ANC), mod ketelusan dan kebolehan menjeda audio secara automatik.

Sebagai tambahan, Soundcore Liberty 4 juga dimuatkan dengan ciri Spatial Audio yang tidak sekadar berfungsi pada kandungan Dolby Atmos semata-mata, sebaliknya boleh digunakan pada mana-mana sumber audio. Lain-lain spesifikasi termasuklah penarafan kalis air IPX4 dan bateri dengan ketahanan mencapai 28 jam penggunaan.

Untuk harga, fon telinga ini dijual pada $149.99 (~RM695) dengan dua pilihan warna seperti Midnight Black dan Cloud White.