Carian
Pandang Pertama Huawei Mate 50 Pro – Hilang Leica Diganti XMAGE
October 4, 2022 Effi Saharudin

Untuk mengatakan situasi Huawei sekarang adalah jerih jika dibandingkan dengan lima tahun yang lalu adalah suatu understatetment jika kita menggunakan terma Bahasa Inggeris. Tetapi walaupun sekatan teknologi dikenakan oleh Amerika Syarikat, masih ramai yang setia dengan Huawei kerana kemampuan kamera peranti mereka yang menakjubkan.

Kombinasi berbisa Huawei dan Leica menjadi bualan ramai dan sehingga kini beberapa peranti mereka yang sudah agak berusia masih digunakan kerana pemilik berpuas hati dengan kemampuan kameranya. Tahun ini sekali lagi nasib Huawei berubah kerana kerjasama dengan Leica tidak diteruskan. Sebagai ganti sistem kamera XMAGE diumumkan. Adakah XMAGE masih mampu memberikan prestasi kamera yang membuatkan Huawei Mate 50 Pro peranti yang perlu dimiliki?

Spesifikasi

Huawei Mate 50 Pro
Skrin6.74″ OLED, 1212 x 26160 pixel
120Hz
PemprosesSnapdragon 8+ 4G (4nm)
Cip1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 2.00 GHz Cortex A510
Cip GrafikAdreno 730
RAM8 Gigabyte
Muatan Dalaman256GB UFS 3.1
NM card 256GB
Kamera Utama50 MP, f/1.4-f/4.0, OIS (Sudut Lebar)
13 MP, f/2.2 (Ultra lebar)
64 MP, f/3.5, OIS (Telefoto)
4K 60p
Kamera Depan13 Megapixel f/2.4,
4K 60p
Bateri4700 mAh
Pengecasan berwayar 66W
Pengecasan nirwayar 50W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFCYa
Infra MerahYa
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanCap jari terbina dalam skrin
Harga JualanRM4404* (256GB)
RM5282* (512GB)

Skrin

Skrin 6.74″ OLED FHD+ hadir dengan sokongan 120Hz adaptif yang lebih tinggi berbanding hanya 90Hz pada Mate 40 Pro. Sungguhpun begitu skrin Mate 50 Pro adalah sedikit lebih kecil dan mempunyai PPI yang lebih rendah.

Ia juga masih lagi melengkung pada kedua-dua sisi kerana Huawei masih merasakan rekaan ini relevan pada tahun 2022. Di Amanz kami merasakan skrin rata lebih praktikal kerana kandungan video yang ditonton misalnya tidak melimpah ke sisi. Saiz bezel pada keempat-empat sisi adalah nipis.

Terdapat takuk yang besar pada bahagian atas untuk sistem imbasan wajah 3D. Huawei adalah sebahagian kecil pengeluar Android yang masih menawarkan ciri imbasan wajah seakan Face ID pada peranti mereka. Memang takuk ini besar tetapi kelebihannya ialah sistem pengecaman wajah boleh digunakan dalam keadaan gelap sekalipun. Ia juga lebih pantas jika dibandingkan dengan sistem imbasan cap jari bawah skrin yang turut disertakan sekali.

Secara rasminya skrin menyokong HDR Vivid. Tetapi pada platform pestriman lain seperti Netflix misalnya tiada sokongan HDR memandangkan setiap peranti perlu melepasi ujian Netflix yang tidak boleh dilakukan oleh Huawei kerana sekatan teknologi.

Skrin masih lagi mempunyai keterangan yang memuaskan dengan ia boleh dilihat dengan jelas di bawah cahaya matahari yang terang. Warna juga hidup dengan tiada isu color banding. Apabila menatal tiada isu ghosting dan kesemua sentuhan yang dilakukan boleh dikesan dengan tepat.

Rekaan

Sekatan mungkin dikenakan pada Huawei tetapi dari segi rekaan dan kualiti kemasan, mereka masih mengekalkan kualiti yang digunakan selama ini. Bingkai logam yang keras mempunyai sisi yang dibulatkan. Dalam pasaran dipenuhi peranti dengan sisi rata bagi mengikut trend yang dimulakan oleh Apple, Mate 50 Pro masih percaya dengan identiti mereka sendiri.

Binaan adalah teguh dan apabila tekanan dikenakan, ia tidak langsung melentur. Tidak perlu risau Mate 50 Pro secara tidak sengaja terlipat seperti P50 Pocket kerana bingkainya teguh. Butang kuasa dan laras audio diletakkan pada sisi kanan. Seperti bingkai kedua-dua butang ini diperbuat daripada logam dan ianya tidak terasa longgar.

Terdapat pemancar infra merah di bahagian atas. Ciri yang jarang diberikan pada telefon pintar sejak akhir-akhir ini. Pada bahagian bawah terdapat port pengecasan USB-C, kekisi audio dan talam SIM. Talam ini menyokong dwi-SIM nano dan satu NM Card dengan saiz sehingga 256GB,

Pada bahagian belakang terdapat bonggol besa berbentuk bulat yang meletakkan tiga kamera – 50MP sudut lebar dengan sistem XMAGE, 13MP ultra sudut lebar dan 64MP telefoto yang menyokong sehingga 100X zum digital. Memang terdapat empat lens di belakang tetapi salah satunya ialah laser yang digunakan pemfokusan.

Bonggol gergasi ini mempunyai kemasan Clous de Paris yang merupakan corak yang biasanya digunakan pada jam tangan mewah. Kerana saiznya yang besar ini, isu biasa peranti tidak boleh diletakkan rata di atas meja berlaku. Kerangka silikon yang disertakan dengan setiap pembelian boleh menyelesaikan isu ini dan pada waktu yang sama mengurangkan risiko panel belakang kotor.

Bateri pula sebesar 4700 mAh yang lebih besar berbanding kapasiti 4400 mAh tahun lalu. Sistem pengecasan yang disokong ialah 66W berwayar, 50W nirwayar dan 7.5W berbalik. Sistem pengecasan ini bukanlah yang terpantas tetapi lebih baik berbanding yang diberikan oleh Samsung dan Apple.

Kesemua komponen ini diletakkan di dalam tubuh yang melepasi piawaian IP68 dengan ia boleh direndamkan ke dalam air sehingga 6 meter. Jika ada perkara negatif yang boleh kami katakan mengenai rekaan ialah tiada bicu audio yang merupakan perkara biasa pada majoriti peranti mercu sejak lima tahun kebelakangan ini.

Antaramuka Dan Pengalaman Penggunaan

Peranti yang kami terima menggunakan Harmony OS 3.0 yang merupakan versi terkini sistem operasi kendiri Huawei. Mate 50 dan Mate 50 Pro juga merupakan dua peranti terawal dengan Harmony OS 3.0. Ini ialah ROM yang khusus untuk pasaran China pada waktu ini dengan Huawei mengesahkan untuk versi global kelak EMUI 13 akan digunakan.

Kedua-dua sistem operasi mempunyai antaramuka dan ciri yang sama cuma Harmony OS mempunyai integrasi yang lebih mendalam untuk pelbagai perkhidmatan di China sahaja. Oleh sebab itu EMUI 13 digunakan pada pasaran global apabila ia mula dijual kelak.

Pengalaman penggunaan adalah lancar tanpa sebarang isu. Penggunaan skrin 120Hz membuatkan peranti terasa sangat responsif ketika digunakan dengan tiada isu lengah masa dapat kami lihat.

Antara ciri baharu yang disokong ialah kemampuan melakukan panggilan kecemasan menggunakan satelit Beidu. Apabila tiada rangkaian selular atau WiFi, Mate 50 Pro akan secara automatik bersambung kepada sistem satelit. Tetapi pada waktu ini telahpun disahkan ciri ini hanya boleh digunakan di China sahaja.

SmartFolder pula membolehkan aplikasi dimasukkan ke dalam sebuah folder yang saiznya pada skrin boleh diubah. Secara lazimnya folder hanya menunjukkan 9 ikon aplikasi tetapi di HarmonyOS 3, pengguna boleh mengubah saiz folder mengikut kehendak hati.

Sementara itu ciri SuperStorage pula mengurangkan ruang storan yang diperlukan oleh aplikasi yang terpasang. Sistem dengan pintar membuang fail yang tidak diperlukan sekaligus membolehkan penjimatan ruang sehingga 20GB pada storan 256GB. Bagi pengguna ekosistem Huawei pula, proses berkongsi pelbagai fail antara aplikasi dan peranti dipermudahkan dengan ciri SuperHub.

Kesemua ni dilakukan dengan menggunakan Huawei Media Services yang menjadi alternatif kepada GMS sejak beberapa tahun kebelakangan. Antara perubahan paling besar ialah apabila carian aplikasi dilakukan di Huawei App Gallery, aplikasi yang tidak ditawarkan dalam stor Huawei akan dipaparkan. Pengguna boleh memasang aplikasi terus dari App Gallery tanpa perlu lagi pergi ke Petak Search. Ini dapat dilakukan menerusi integrasi stor pihak ketiga secara terbina.

Penanda Aras

Cip Snapdragon 8+ Gen 1 4G yang digunakan oleh Mate 50 Pro adalah unik kerana ia tidak menyokong rangkaian 5G dan hanya digunakan oleh Huawei. Markah penanda aras yang dicatatkan adalah seperti di bawah.

Kami meletakkan juga markah penanda aras iPhone 14 Pro Max (A16 Bionic), iPhone 13 Pro Max (A15 Bionic), Black Shark 5 Pro (Snapdragon 8 Gen 1) dan Z Fold4 (Snapdragon 8+ Gen 1). Agak aneh melihat skor yang dicatatkan Snapdragon 8+ Gen 1 4G adalah lebih rendah berbanding Snapdragon 8 Gen 1.

Geekbench 5

  • Huawei Mate 50 Pro – 893/3092
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 1875/5469
  • Apple iPhone 13 Pro Max – 1727/4713
  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 1298/3963
  • Black Shark 5 Pro – 1202/3693

Antutu 3D

  • Huawei Mate 50 Pro – 816,503
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 974,941
  • Apple iPhone 13 Pro Max – 789,647
  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 980,346
  • Black Shark 5 Pro – 1,018,939

Kamera

Pada bahagian belakang terdapat bonggol besa berbentuk bulat yang meletakkan tiga kamera 50MP sudut lebar XMAGE dengan apertur boleh diubah f/1.4 hingga f/4.0 serta sokongan OIS, 13MP ultra sudut lebar f/2.0 dan 64MP telefoto f/3.5 yang menyokong zum optikal sehingga 3.5X dan zum digital sehingga 100X Mekanisme periskop digunakan bersama dengan sistem penstabilan OIS. Di hadapan pula kamera 13MP digunakan.Berikut adalah beberapa sampel gambar yang sempat kami ambil untuk melakukan ujian awal sebelum ulasan penuh kami terbitkan dalam masa terdekat.

Kesimpulan

Antara sebab mengapa masih ada peminat tegar Huawei di Malaysia selepas sekata teknologi dikenakan ialah perisian EMUI mereka yang lancar dan juga kemampuan fotografi yang baik. Tetapi ini hanya akan menarik perhatian peminat tegar sahaja yang sanggup berubah sepenuhnya ke ekosistem Huawei HMS.

Rekaan dan perisian peranti adalah menarik dengan pelbagai ciri tambahan diberikan yang tidak dapat dilihat pada peranti Android serta iOS. Sistem imbasan wajah 3D pada Mate 50 Pro adalah pantas dengan ia jarang sekali dilihat pada peranti Android yang lain.

Prestasi kamera XMAGE dari pengamatan kami adalah setanding dengan apa yang mampu dinikmati semasa Huawei masih lagi bekerjasama dengan Leica. Nama mungkin sudah bertukar, tetapi kemampuan fotografi Mate 50 Pro dalam ujian awal adalah amat memuaskan.

Ulasan penuh masih dalam proses memandangkan unit yang kami uji ini menggunakan HarmonyOS 3.0 bukan EMUI 13 yang akan digunakan pada unit yang akan dijual di Malaysia kelak. Nantikan ulasannya di Amanz dalam masa terdekat.

Pro

  • Skrin akhir 120Hz.
  • Rekaan yang unik dan menarik.
  • HarmonyOS semakin matang dengan pelbagai ciri menarik disertakan.
  • Prestasi kamera XMAGE adalah baik seperti era Leica dahulu.
  • Pengecasan yang agak pantas.

Kontra

  • Tiada 5G.
  • Snapdragon 8+ Gen 1 4G mencatatkan markah penanda aras yang agak rendah.
  • Untuk mereka yang boleh hidup dengan HMS tanpa ekosistem Google sahaja.
Komen