Google Jepun Memperlihatkan Gboard Bar – Papan Kekunci Sebaris Dengan 101 Kekunci

Diterbitkan pada Okt 3, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Google Jepun kerap hadir dengan jenaka mengenai teknologi papan kekunci. Tetapi semuanya sekadar gimik, sehinggalah baru-baru ini mereka melancarkan Gboard Bar. Gboard Bar adalah papan kekunci sebaris dengan 101 kekunci.

Menurut mereka, Gboard Bar ini dicipta agar pengguna tidak perlu mencari-cari kekunci mana yang ingin ditekan dan boleh terus mula dari awal hingga hujung untuk menekan kekunci yang diingini. Tambahan mereka lagi, papan kekunci ini dibina kerana perkataan キー (kii (key)) dari “keyboard” キーボード (kii-bou-do), asyik diberi perhatian jadi kali ini mereka ingin memberi bahagian ボー (bou) pula peluang menyerlah. Bahagian ini bermaksud bow (staff/bar).

Google Jepun turut menyatakan produk mereka ini adalah lebih ergonomik, kerana menaip pada papan kekunci yang panjang boleh meregang tangan untuk senaman ringan ketika bekerja. Malah apabila menekan kekunci yang hampir ke hujung kaki turut boleh meregang secara tidak sengaja.

Gboard bar mempunyai 17 papan litar digabungkan bersama, mempunyai panjang 1650mm, menggunakan susun atur ASCII dan “1D QWERTY”, dan turut akan mempunyai variasi untuk gaming dengan lampu RGB serta jenis kekunci khusus untuk emoji.

Mereka tidak menyatakan sama ada ia akan dijual ataupun tidak. Produk ini dilihat mungkin satu jenaka sahaja, tetapi Google Jepun turut menyediakan cetak biru, rajah litar, fail 3D, perisian untuk dimuat turun dan lain-lain lagi fail penting untuk pengguna bina sendiri di rumah.

Gboard Bar turut dilihat boleh berfungsi sebagai sejenis tangkai untuk membantu tutup suis, menggunakan bersama dua orang atau dijadikan sebagai joran.

komen


© Amanz / 2022 Kami