Industri Automotif Kini Dilihat Bekerjasama Dengan Pembangun Cip Semikonduktor Untuk Kemaslahatan Bersama

Diterbitkan pada Okt 3, 2022. oleh .

Untuk beberapa tahun ini, sektor cip semikonduktor dilihat menghadapi masalah yang agak ketara dimana pelbagai industri memerlukan komponen-komponen dari syarikat-syarikat seperti TSMC, SK Hynix, Samsung, Micron dan sebagainya.

Industri automotif khususnya dilihat semakin banyak menggunakan cip-cip tersebut untuk kereta-kereta terbaru mereka, samada untuk sistem inforia, sistem imbasan membalikkan kereta, imbasan automatik dan sebagainya.

Isu terbesar untuk industri automotif ialah mereka boleh dikatakan diantara yang paling terkesan dengan kemerosotan bekalan komponen kerana mereka secara lazimnya mengambil bekalan daripada pembekal mereka sendiri, dan jarang sekali bekerjasama dengan pembuat cip.

Malah, apabila syarikat-syarikat automotif cuba untuk mendapatkan bekalan terus daripada syarikat-syarikat pembuat cip pemprosesan ini, mereka ditolak mentah-mentah kerana permintaan yang tidak masuk akal seperti meminta 25-30 wafer semikonduktor apabila syarikat-syarikat seperti Apple, AMD dan Intel secara lazimnya meminta 25,000 ke 30,000 wafer untuk setiap pesanan.

Walaupun isu bekalan cip semikonduktor dilihat telah berkurangan, syarikat automotif seperti Stellantis menjangkakan bahawa isu ini akan berkekalan untuk industri mereka sehingga penghujung 2023 kelak.

Untuk mengatasi masalah ini, sejumlah syarikat-syarikat automotif, khususnya mereka yang benar-benar serius tentang membangunkan teknologi kenderaan mereka telah mula untuk bekerjasama dengan pembangun-pembangun cip semikonduktor ini, memasukkan pesanan untuk cip yang dibangunkan oleh syarikat automotif itu sendiri.

Ini adalah untuk memastikan bahawa syarikat-syarikat pembuat cip semikonduktor ini mendapat pesanan untuk bekalan cip secara besar-besaran, dan syarikat-syarikat automotif ini juga boleh mendapatkan komponen yang dibangunkan khusus dengan spesifikasi dan fungsi-fungsi yang diperlukan.

Syarikat-syarikat automotif juga dilaporkan telah mula membangunkan bahagian R&D cip semikonduktor mereka sendiri baru-baru ini untuk memudahkan proses tersebut.

Reuters 1,2

komen


© Amanz / 2023 Kami