Cari @ Amanz

Peranti Samsung di bawah siri Galaxy A rata-ratanya terkenal dengan penawaran aspek yang seimbang bersama tanda harga jualan mampu milik. Terkini sebuah peranti baharu Galaxy A telah ditemui tertiris menerusi ciapan terkini OnLeaks di Twitter.

Peranti yang dimaksudkan adalah Samsung Galaxy A14 yang kelak tiba sebagai pengganti kepada Galaxy A13. Jelas kelihatan, peranti menampilkan rekaan seumpama model terdahulu dengan sistem tri-kamera utama di belakang. Ia disusun secara menegak tanpa sebarang modul bersama satu LED Flash yang diletakkan secara bersebelahan.

Skrin hadapan masih sejenis bertakuk kecil dan berdagu tebal. Perubahan kecil sekadar pada penggunaan panel Infinity-U. Seterusnya, sisi kanan terdapatnya butang kuasa yang merangkap pengimbas cap jari dan laras audio. Port USB-C, bicu audio 3.5mm dan pembesar suara pula terletkan di bahagian bawah peranti.

Untuk spesifikasi, Galaxy A14 dijangka menggunakan skrin LCD 6.8-inci beresolusi FHD+. Spesifikasi utama lain seperti cip pemprosesan, konfigurasi kamera, memori, storan dan kapasiti bateri masih tidak diketahui. Dalam masa sama, masih tidak dapat dipastikan sama ada peranti akan mempunyai variasi 4G serta 5G atau sebaliknya.

Gambar sekadar hiasan – Samsung Galaxy A13 5G

Sekadar selingan, Samsung Galaxy A13 telah ditawarkan di Malaysia dengan harga bermula RM799 untuk peranti 4G LTE. Sementara itu, variasi 5G pula boleh dibeli pada RM1099 sebuah. Bagi yang berminat, ketersediaan adalah menerusi kedai atas talian dan pengedar sah Samsung di seluruh Malaysia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd