Laporan PAC mengenai pelantikan KPISoft (Entomo) sebagai pembangun aplikasi MySejahtera telah diterbitkan hari ini. PAC mendapati Kerajaan tidak menggunakan prosedur perolehan yang sepatutnya. Kerajaan juga didapati tidak jelas dengan hala tujuan MySejahtera dan keliru dengan pelantikan KPISoft, konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan tempohnya serta pemilikan aplikasi.
Penawaran membangunkan MySejahtera sebagai CSR di peringkat asal telah digunakan oleh KPISoft untuk mendapatkan projek kerajaan tanpa melalui prosedur yang sepatutnya. Dalam laporan yang sama PAC mendapati tindakan kerajaan menila cadangan pengkomersialan adalah wajar demi melindungi keselamatan data pengguna.
Turut diberikan tumpuan ialah harga siling RM196 juta untuk perolehan MySejahtera selama dua tahun adalah tinggi serta bercanggah dengan pelan asal yang mengatakan aplikasi dibangunkan di bawah inisiatif CSR. Lebih mengejutkan sehingga April 2022, Kerajaan masih belum mendaftarkan harga intelek (IP) bagi aplikasi MySejahtera di MyIPO dengan ia masih lagi dimiliki oleh KPISoft.
PAC menyarankan supaya Kerajaan menyemak semula pemberian kontrak aplikasi MySejahtera secara rundingan terus sedangkan MAMPU sebagai Jabatan Teknikal ICT dilihat berupaya mengambil alih pembangunan dan pengoperasian aplikasi MySejahtera.
Kerajaan juga harus memiliki aplikasi MySejahtera sepenuhnya dan memastikan data pengguna tidak disalahguna dengan ia dijadikan alat pengurusan kesihatan awam negara selaras dengan pelan pendigitalan perkhidmatan kesihatan.