Ulasan Honor MagicBook 14 (2022) – Prestasi Baik Dengan Binaan Dikitar Semula

Diterbitkan pada Okt 6, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Honor terkenal dengan komputer riba tersendiri di bawah siri MagicBook. Mereka dilihat hadir dengan beberapa pilihan model yang rata-rata memfokuskan terhadap produktiviti. Baru-baru ini, Honor MagicBook 14 (2022) telah dilancarkan di Malaysia dengan harga bermula RM4,299.

Terdapat dua model yang ditawarkan dengan sokongan GPU berbeza sama ada Intel Iris Xe Graphics atau NVDIA GeForce RTX 2050. Dapat dilihat binaan tubuh masih dikitar semula seumpama beberapa model terdahulu tetapi Honor masih mampu mengekalkan elemen yang premium. Bagi yang mungkin bertanya mengenai prestasinya, ini adalah ulasan penuh kami untuk komputer riba Honor ini.


Spesifikasi

Honor MagicBook 14 2022
Skrin14″ IPS LCD 1080P (2160 x 1440 piksel), 60Hz
Nisbah Aspek 3:2
100% sRGB / 1500: 1
Windows 11 + OS Turbo
PemprosesIntel i5-12500H
CipBase 2.5GHz; Up to 4.5GHz
Cip GrafikIntel Iris Xe Graphics / NVDIA GeForce RTX 2050
RAM16GB Dual-Channel DDR5
Muatan Dalaman512GB SSD PCIe 4.0
Kamera Utama720P HD
I/O1 X USB-C
2 X USB-C 3.2 Gen2
1 X USB-A 3.2 Gen1
1 X HDMI
Bicu audio 3.5mm
2 X mikrofon
Bateri75Whr
Pengecasan Pantas 65W
SIM/TelefoniTiada
WiFi802.11a/b/g/n/ac/6
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas cap jari & wajah
Harga JualanBermula RM4299

Seperti namanya, komputer riba ini dilengkapi skrin IPS LCD 14-inci 2.1K (2160×1440 piksel) dengan nisbah skrin ke badan seluas 88%. Ia kemudiannya dipadankan dengan beberapa ciri tambahan seperti kecerahan puncak 300 nits, nisbah aspek 3:2, nisbah kontras 1500:1 dan kecerahan puncak 300nits. Skrin turut melepasi pengiktirafan TÜV Rheinland untuk kesihatan mata pengguna. Saiz bezel juga kelihatan lebih baik dengan saiz dagu lebih kecil. Namun jangan tertipu dengan rekaan yang kini bukan lagi plastik sebaliknya terus terbina pada skrin yang seakan menyertakan sokongan sesentuh. Sebabnya komputer riba sama sekali tidak dibekalkan fungsi berkenaan.

Honor MagicBook 14 (2022) yang kami terima menggunakan cip Intel i5-12500H dengan padanan GPU NVDIA GeForce RTX 2050. Dalam masa sama, Honor turut menawarkan variasi dengan GPU Intel Iris Xe Graphics sebagai pilihan. Konfigurasi memori pula adalah 16GB Dual-Channel LPDDR dan storan dalaman pula 512GB SSD. Ini adalah kapasiti yang sama digunakan pada MagicBook 15 tetapi lebih besar berbanding MagicBook 14 (2021). Gabungan ini adalah bagi memastikan prestasi komputer riba yang lancar dapat dinikmati dengan masalah lengah masa yang minima.

Kamera web yang digunakan sekadar beresolusi 720P yang diletakkan pada bahagian atas bezel. Ini adalah berbeza dengan beberapa model terdahulu yang menempatkannya pada papan kekunci. Turut disediakan adalah sokongan imbasan wajah, di samping pengimbas cap jari yang boleh digunakan sebagai pilihan. Kedua-duanya disokong dengan perisian Windows Hello.

Pembesar suara stereo diletakkan pada bahagian bawah dan prestasi kurang memuaskan dengan kualiti audio yang kurang lantang. Khususnya, sewaktu ia digunakan di atas permukaan lembut. Kualiti audio menggunakan bicu audio pula adalah memuaskan sahaja. Bateri berkapasiti 75Wh pula menyokong sistem pengecasan pantas 65W.

Kesemua perkakasan dalaman ini dimuatkan dalam tubuh sejenis aloi aluminium sepenuhnya termasuklah binaan untuk engsel. Rekaan yang kemas dan padat ini turut disertakan dengan tiga pelapik getah pada bahagian bawah. Turut disertakan adalah lohong udara sebagai sistem penyejukan komponen dalaman untuk penggunaan lebih baik. Tetapi sayangnya Honor dilihat tidak memanfaatkan sepenuhnya kelebihan ini dengan menyediakan palam I/O yang lebih banyak. Jelas kelihatan komputer riba mempunyai banyak ruangan kosong terbiar pada bahagian sisi kanan dan kiri. Antara palam I/O yang disediakan termasuklah:

  • 1 X USB-C
  • 2 X USB-C 3.2 Gen2
  • 1 X USB-A 3.2 Gen1
  • 1 X HDMI
  • 1X Bicu audio 3.5mm
  • 2 X mikrofon

Pengalaman Penggunaan

Pengalaman penggunaan yang dikongsi menerusi artikel ini adalah berasaskan pandangan peribadi. Jelas kelihatan, rekaan Honor MagicBook 14 dan MagicBook 15 telah dikitar semula pada komputer riba ini. Ia cukup ergonomik, kemas dan selesa digunakan bagi pengguna yang berbadan besar. Jika sebaliknya, ia mungkin menimbulkan rasa yang kurang selesa terutamanya sewaktu menggendong komputer riba ini. Ia terasa agak berat tetapi tidaklah sehingga mengakibatkan sakit pada bahu.

Kemasan pusam yang digunakan sememangnya tampak premium, namun tersangatlah mudah memerangkap kotoran. Justeru, penjagaan yang rapi bersama pembersihan yang kerap amat disarankan agar komputer riba ini kekal kemas dan cantik. Selain daripada itu, peletakan logo Honor juga menunjukkan perubahan yang mana kini berada di bahagian tengah dan bukan lagi di sisi seperti beberapa model terdahulu. Tiada komen yang boleh diberikan untuknya kerana ia masih boleh dilihat dengan jelas sebagai sebuah komputer riba keluaran Honor.

Prestasi skrin dengan kemasan pusam adalah baik tetapi bergantung pada keadaan persekitaran. Misalnya, ia cukup baik digunakan di kawasan yang tertutup dengan olahan warna dan perincian yang baik khususnya sewaktu digunakan untuk menonton kandungan video. Begitu juga dari segi ketajaman teks dan gambar, ia tidak menunjukkan masalah pada hemat kami. Namun jika sebaliknya prestasi akan mula berkurang dengan masalah skrin yang sukar untuk dilihat. Begitu juga dengan pemilihan nisbah skrin 3:2 yang dirasakan cukup baik untuk pengalaman kerja yang efektif, tetapi tidak seronok digunakan untuk tujuan multimedia.

Sebabnya, akan terdapat dua bar hitam pada bahagian atas dan bawah skrin apabila kandungan video ditonton dalam mod skrin penuh. Seperti sebelumnya, variasi baharu ini juga tidak disertakan dengan kebolehan skrin sesentuh dan kadar segar semula yang tinggi. Ini bagaimanapun bukanlah suatu masalah besar kerana tidak ramai di antara pengguna yang benar-benar memanfaatkan fungsi berkenaan. Sebagai sebuah komputer riba yang memfokuskan terhadap produktiviti, apa yang ditawarkan ketika ini adalah cukup memadai. Bagaimanapun setiap individu mempunyai kehendak berlainan, bergantung juga kepada citarasa masing-masing.

Terdapat dua pilihan GPU yang ditawarkan dan salah satu daripadanya adalah NVIDIA GeForce RTX 2050. Ini adalah komputer riba pada hemat kami sesuai sahaja digunakan untuk kegunaan pejabat, tugasan grafik atau permainan video di tahap sederhana. Kapasiti memori besar yang disediakan juga mampu memastikan komputer riba tiada masalah sela masa yang kronik apabila program dilancarkan. Pengalaman keseluruhannya terasa cukup lancar. Cuma pada awal penggunaan, kami sedari komputer riba ini tergendala seketika untuk beberapa ketika khususnya sewaktu proses meleret gambar untuk disunting di dalam Photoscape X.

Masalah ini bagaimanapun berjaya diatasi menerusi kemas kini baharu dan kami tidak lagi berhadapan dengan isu sedemikian lagi sehingga ke hari ini. Dalam masa sama, komputer riba langsung juga tidak menjadi panas melampau ketika menggunakan perisian biasa seperti melayari web, menstrim video serta audio dan melakukan suntingan gambar. Bukan itu sahaja, kipas juga tidak mengeluarkan bunyi yang bising dan tiada isu pemanasan melampau yang ditemui sebaliknya sekadar suam sahaja.

Turut disertakan adalah fungsi HONOR Magic-link yang memudahkan sambungan terus ke peranti pintar atau tablet. Penggunaannya adalah seumpama Huawei Share, di mana proses kerja lebih efektif boleh dilakukan melaluinya. Antara perkara yang boleh dibuat menerusi ciri ini adalah melancarkan sehingga tiga tetingkap aplikasi pada masa yang sama untuk lebih produktif. Bukan itu sahaja, sebarang fail yang diterima menerusi telefon pintar boleh terus dimuat-turun daripada komputer riba/tablet.

Kemudian, pengguna turut boleh menghantar atau berkongsi sebarang dokumen daripada telefon pintar ke komputer riba tanpa kabel, salin semua kandungan tanpa aplikasi tambahan dan merakam tangkap layar dengan mudah menggunakan ciri One-Touch Connect. Perlu diberi perhatian, fungsi ini bagaimanapun terhad untuk Honor MagicBook dengan Computer Manager 15.0 ke atas dan Honor tablet yang menyokong MagicUI 5.0 ke atas.


Papan Kekunci & Pad Sesentuh

Pengalaman menaip menggunakan papan kekunci komputer riba ini terasa baik. Saiz dan ruang antara kekunci adalah sama membuatkannya mudah untuk menaip. Dalam masa sama, binaan yang teguh, tidak terlalu keras dan maklum balas yang baik apabila kekunci ditekan turut boleh diberi pujian. Dalam masa sama, ia turut tidak mengeluarkan bunyi yang bising sewaktu papan kekunci ditekan. Kalau perasan, tiada lagi kamera web pada papan kekunci sebaliknya kini telah diubah ke bahagian bezel atas.

Ini bermakna, kali ini tiada komen negatif daripada kami untuk kedudukan kamera web ini seperti yang pernah dikatakan menerusi beberapa ulasan MagicBook sebelum ini. Turut disertakan adalah lampu LED berwarna putih yang berfungsi sebagai pemberitahuan sama ada ia sedang digunakan atau sebaliknya. Ini sekaligus boleh mengelakkan isu mengaktifkannya secara tidak sengaja. Seterusnya komputer riba ini turut mempunyai ruang yang besar untuk meletakkan tangan.

Hal ini sekaligus membuatkan pengalaman menaip menjadi bertambah selesa, tidak kira sama ada sewaktu menggunakannya di atas meja atau riba. Cuma seperkara yang perlu diberi perhatian adalah butang kuasa merangkap pengimbas cap jari yang diletakkan bersebelahan dengan kekunci delete. Perkara ini dapat mengakibatkan ada di antara pengguna yang tersalah menekan butang lalu mematikan komputer riba secara tidak sengaja. Hal ini terjadi kerana kebanyakan di antara kita sudah terbiasa dengan butang delete yang diletakkan pada penghujung papan kekunci.

Seperkara lagi yang perlu diberi teguran adalah sokongan lampu putih di bawah papan kekunci. Kewujudannya boleh dianggap satu bonus untuk menaip di dalam keadaan gelap tetapi ia terlalu malap meskipun mempunyai dua tahap keterangan yang dipilih. Beralih kepada pad sesentuh pula, rekaan yang besar memudahkan penggunaan khususnya proses melakukan suntingan gambar. Gabungan permukaan yang licin dan selesa dengan perincian mengesan pergerakan yang cukup baik turut menjadikannya lebih mudah untuk digunakan. Menatal dan melakukan zum dapat dilakukan dengan lancar melaluinya.


Ketahanan Bateri

Dengan bateri 75Wh, komputer riba ini diiklankan mampu bertahan mencapai 15 jam penggunaan untuk tontonan main balik video pada resolusi 1080p. Ia kemudiannya berkurang menjadi 10 jam untuk tujuan kerja. Kalau perasan juga kapasiti bateri adalah lebih besar dan apa yang diiklankan oleh Honor bukanlah dakwaan yang tidak berasas. Secara purata kami boleh mendapatkan masa penggunaan yang menghampirinya. Di mana kegunaan harian di pejabat boleh bertahan antara 7 – 9 jam lamanya dengan menggunakan pelayar Microsoft Edge dan disambungkan kepada WiFi sepanjang masa.

Turut disertakan adalah fungsi Power Mode dengan tiga pilihan tetapan yang merangkumi best power efficiency, balanced dan best performance untuk pengoptimasian lebih baik. Seterusnya fungsi battery saver pula akan meminimumkan sebilangan notifikasi dan aplikasi latar untuk ketahanan bateri lebih panjang. Ianya diaktifkan secara automatik apabila kapasiti bateri berada di tahap 20% dan ke bawah.

Pengecasan semula boleh dibuat menggunakan port sambungan USB-C dan pengecas yang disediakan menyokong kuasa output mencapai 65W. Melaluinya, komputer riba boleh dicas penuh sekitar 90 minit daripada tahap bateri di bawah 10%. Ia adalah cukup pantas tetapi komen perlu diberikan pada saiz pengecas dengan blok kuasa yang besar. Akibatnya ia terasa berat selain turut memakan ruang di dalam beg galas.


Kesimpulan

Honor MagicBook 14 (2022) boleh dikategorikan antara komputer riba produktiviti yang baik. Ia mampu menawarkan pengalaman penggunaan memuaskan untuk kegunaan kerja harian, malah turut sesuai digunakan oleh pencipta kandungan dengan tujuan suntingan. Saiz RAM yang besar dan penggunaan SSD menjamin penggunaan yang lancar.

Sungguhpun komputer riba ini mempunyai rekaan dan kemasan yang dikitar semula sejak dua generasi, namun ia tetap kemas dan premium. Dalam pada itu, ia juga selesa digunakan khususnya buat mereka berbadan besar tetapi terasa agak berat jika sebaliknya. Gabungan jangka hayat bateri yang baik dan sistem pengecasan pantas turut sama menambah bonus pada komputer riba ini.

Bukan itu sahaja, kedudukan kamera web yang kini diubah pada bezel lebih memudahkan penggunaan berbanding sebelum ini. Kekurangan pada komputer riba ini adalah tiada sokongan untuk skrin sesentuh tetapi ia bukanlah isu besar yang perlu diperkatakan pada hemat kami. Cuma boleh dianggap satu bonus sekiranya ia disertakan.

Seperkara lagi kewujudan lampu latar pada komputer riba boleh dianggap bagus tetapi sayangnya prestasi kurang memuaskan dengan lampu yang malap. Bagi yang berminat, komputer riba ini dijual di Malaysia pada harga RM4,299 untuk model asas dengan Intel Iris Xe Graphics. Sementara itu, model dengan GPU NVDIA GeForce RTX 2050 pula berharga RM5,099.


PRO

  • Kemasan kemas dan premium.
  • Spesifikasi cukup baik untuk melakukan tugasan harian.
  • Jangka hayat bateri baik dengan sistem pengecasan pantas.
  • Papan kekunci dan pad sesentuh besar baik secara keseluruhan.
  • Tiada lagi kamera web pada papan kekunci.

KONTRA

  • Komputer riba agak berat.
  • Tiada sokongan untuk skrin sesentuh.
  • Lampu papan kekunci malap.

komen


© Amanz / 2022 Kami