Cooler Master Synk X Ialah Kerusi Gaming Dengan Tindak Balas Haptik Terbina

Diterbitkan pada Okt 4, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Kerusi gaming bukanlah sebuah konsep yang baru, tetapi kebanyakan daripadanya boleh dilihat sebagai klon OEM yang hanya berbeza dari segi rekaan kulit penutup kerusi.

Cooler Master, syarikat pembuat aksesori dan perkakasan gaming baru-baru ini telah memperkenalkan penawaran kerusi gaming terbaru mereka yang boleh dikatakan sedikit lain daripada yang lain, iaitu Cooler Master Synk X.

Kerusi gaming Synk X ini hadir dengan motor haptik terbina dan boleh disambungkan kepada komputer, konsol permainan dan televisyen melalui sambungan Bluetooth.

Getaran haptik akan dijana oleh kerusi ini bergantung kepada kandungan yang dimainkan, tidak kira ia permainan komputer, video ataupun kandungan penstriman seperti Netflix.

Ia juga hadir dengan tempat duduk yang cukup selesa, dimana ia mempunyai sudut baringan 135 darjah dan tempat letak lengan 4D yang membolehkan pengguna untuk mengubah ketinggian dan arah tempat letak tangan tersebut dengan mudah.

Dalam pada itu, penggunaan sambungan Bluetooth untuk menyambungkan komputer dan konsol ke kerusi ini bermakna bahawa kerusi ini tidak perlu disambungkan ke bekalan kuasa apabila digunakan. Ia juga hadir dengan palam audio terbina dan pengguna boleh mengubahsuai kelatangan audio daripada kerusi.

Ia hadir dengan bateri terbina, dan boleh dicas apabila kerusi ini tidak digunakan. Buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah ia akan mula dijual.

komen


© Amanz / 2022 Kami