Xiaomi hari ini telah melancarkan dua telefon pintar baharu sebagai pengganti kepada Xiaomi 11T dan Xiaomi 11T Pro. Dua peranti ini adalah Xiaomi 12T dan Xiaomi 12T Pro, yang mana sekali lagi menawarkan spesifikasi seumpama peranti mercu tetapi dalam harga yang lebih mampu berbanding pesaing.
Xiaomi 12T Pro
Xiaomi 12T Pro hadir dengan skrin 6.67-inci CrystalRes AMOLED DotDisplay dengan sokongan kadar segar semula 120Hz, menyokong AdaptiveSync untuk paparan serendah 30Hz, ia turut boleh memaparkan kandungan dalam format Dolby Vision dan HDR10+. Cip pemprosesan yang digunakan adalah antara yang paling berkuasa untuk peranti Android setakat ini iaitu Snapdragon 8+ Gen 1 dengan memori 8GB RAM serta 3GB RAM memori maya atau 12GB RAM dan storan dalaman sehingga 256GB UFS 3.1.

Kelebihan pada peranti ini adalah kamera, di mana ia menggunakan konfigurasi tri-kamera dengan sensor 200MP Samsung ISOCELL HP1 dengan OIS + 8MP sudut ultra lebar + 2MP makro dengan sokongan sistem 200MP Xiaomi ProCut, Xiaomi ProFocus, rakaman video 8K, rakaman video HDR10+ dan kamera swafoto 20MP.

Bateri peranti adalah 5000mAh dengan pengecasan pantas 120W HyperCharge yang turut menyokong AdaptiveCharge agar peranti boleh dicas dengan pengecas pantas lain seperti PD atau GaN. Speaker pada peranti adalah stereo Dolby Atmos yang ditala oleh Harmon/Kardon. Xiaomi 12T Pro turut mempunyai pengimbas cap jari bawah skrin, sambungan Bluetooth 5.2, WiFi 6 dan menjalankan MIUI 13 berasaskan Android 12.
Xiaomi 12T
Xiaomi 12T adalah variasi yang lebih mampu milik, jadi akan ada sedikit perbezaan pada peranti ini berbanding Xiaomi 12T Pro. Misalnya, skrin yang sama iaitu 6.67-inci CrystalRes AMOLED DotDisplay dengan sokongan kadar segar semula 120Hz serta turut menyokong AdaptiveSync untuk paparan serendah 30Hz. Tetapi ia hanya menyokong HDR10+ dan tiada sokongan Dolby Vision.

Cip pemprosesan pula MediaTek Dimensity 8100-Ultra, iaitu cip kelas pertengahan premium yang berkemampuan. Ia dipadankan dengan memori 8GB RAM serta storan dalaman 256GB UFS 3.1. Kamera juga lebih kurang sama dengan konfigurasi tri-kamera, tetapi sensor utama adalah 108MP Samsung ISOCELL HM6 berbanding 200MP dengan 8MP sudut ultra lebar dan 2MP makro. Berbeza dengan Xiaomi 11T, kali ini kedua-dua 12T menyokong OIS serta turut boleh merakam video Ultra Night Video. Kamera swafoto pula adalah 20MP yang sama dengan Pro.

Bateri peranti juga sama iaitu 5000mAh dengan pengecasan pantas 120W HyperCharge yang turut menyokong AdaptiveCharge. Speaker walaupun sama jenis stereo, ia hanya versi Dolby Atmos dan tidak ada sentuhan Harmon/Kardon. Untuk sekuriti pengimbas cap jari bawah skrin disertakan, sambungan pula ada Bluetooth 5.2, WiFi 6 dan menjalankan MIUI 13 berasaskan Android 12.
Di Eropah, Xiaomi 12T dijual pada harga €549 iaitu sekitar RM2526 dan Xiaomi 12T Pro pula bermula dari €749 iaitu sekitar RM3446. Harga jualan Malaysia masih belum diumumkan lagi buat masa ini.