Carian
Corsair K100 AIR Ialah Papan Kekunci Mekanikal Nirwayar Nipis Dengan Ketahanan Bateri 200 Jam
October 5, 2022 Nazrin

Corsair merupakan sebuah jenama yang cukup terkenal untuk aksesori dan perkakasan komputer mereka, dan terkini, mereka telah memperkenalkan papan kekunci mekanikal nirwayar paling nipis mereka, iaitu Corsair K100 AIR.

Corsair K100 AIR merupakan sebuah papan kekunci mekanikal bersaiz penuh (104 kekunci) dengan rekaan rangka yang sangat nipis sekali. Malah, pada bahagian paling nipisnya, ia hanya setebal 11mm dimana rangka luarannya diperbuat daripada logam aluminum.

Sebagai sebuah papan kekunci nipis, ia juga merupakan sebuah papan kekunci berprofil rendah yang menggunakan suis mekanikal Cherry MX Tactile Ultra Low Profile yang membolehkan pengguna untuk menaip dengan pantas.

Dari segi sambungan, papan kekunci K100 AIR ini hadir dengan pilihan sambungan berwayar USB Type-C, sambungan WiFi menggunakan teknologi SLIPSTREAM WIRELESS dan juga sambungan Bluetooth yang cukup pantas tidak kira jenis sambungan apa yang anda gunakan.

Dari segi jangkahayat bateri, Corsair mengatakan bahawa papan kekunci ini hadir dengan bateri yang boleh bertahan selama 200 jam apabila digunakan dengan pencahayaan RGB ditutup, ataupun sekitar 50 jam apabila sistem pencahayaan tersebut dipasang.

Seperti aksesori-aksesori gaming Corsair yang lain, tetapan pencahayaan papan kekunci ini juga boleh diubahsuai melalui perisian iCUE jenama tersebut.

Corsair K100 AIR hadir dengan tanda harga $279 dan sudahpun mula dijual di pasaran-pasaran tertentu.

Komen