Google Memasuki Arena Perubatan Dengan Penawaran Medical Imaging Suite

Diterbitkan pada Okt 5, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Teknologi perubatan dilihat semakin maju setiap tahun, tetapi sehingga kini, ia dilihat bahawa salah satu aspek sektor perubatan yang masih lagi banyak memerlukan kepakaran manusia ialah pembacaan imej perubatan.

Ini termasuklah pembacaan imej seperti X-Ray, imbasan CT, MRI, ultrabunyi dan sebagainya. Google mengatakan bahawa 90 peratus daripada data perubatan dilihat melalui imej-imej perubatan ini, dan secara lazimnya ia masih memerlukan pakar-pakar untuk membacanya sebelum sebarang diagnosis boleh diberikan.

Terkini, Google telah memperkenalkan Medical Imaging Suite melalui penawaran Google Cloud mereka dimana Google menggunakan kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin untuk mengimbas imej-imej tersebut dan memberikan diagnosis yang cepat dan tepat.

Medical Imaging Suite menggunakan sistem anotasi menggunakan kecerdasan buatan yang dibangunkan oleh NVIDIA dan Monai, bersama-sama dengan BigQuery Looker yang digunakan untuk mencari data yang berkaitan diagnosis perubatan yang cukup besar sekali.

Sistem Medical Imaging Suite ini juga diintegrasi bersama-sama program pengaturcaraan Google Cloud Healthcare dan membuka peluang pekerjaan untuk ramai pengaturcara khususnya pada hospital-hospital yang mahu mengimplimentasi teknologi baru ini.

Penggunaan sistem kecerdasan buatan Google Cloud Medical Imaging Suite ini juga dilihat akan mengurangkan beban pelbagai pihak dari pakar radiologi sehingga doktor-doktor yang perlu membaca data tersebut. Para pesakit juga dilihat boleh mendapat rawatan yang diperlukan dengan kadar yang lebih cepat.

komen


© Amanz / 2022 Kami