Ulasan Xiaomi 12T Pro – Peranti Mercu Dengan Kamera 200MP

Diterbitkan pada Okt 6, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Xiaomi telah pun melancarkan pengganti Xiaomi 11T/11T Pro malam tadi iaitu Xiaomi 12T dan juga Xiaomi 12T Pro. Ia menawarkan spesifikasi yang cukup menarik dan peranti ini sudah pun tiba di makmal Amanz sejak seminggu lalu. Kini selepas mengujinya, saya agak terkejut dengan kemampuan peranti ini dan dalam artikel ulasan ini akan saya kongsi adakah ini peranti ini berbaloi untuk dimiliki?

Spesifikasi Dan Rekaan

Xiaomi 12T Pro
Skrin6.67″ CrystalRes AMOLED DotDisplay
120Hz, HDR10+, Dolby Vision
PemprosesSnapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
Cip1x 3.19 GHz Cortex-X2
3x 2.75 GHz Cortex-A710
4×1.80 GHz Cortex
Cip GrafikAdreno 730
RAM8/12 GB LPDDR5
Muatan Dalaman256 GB UFS 3.1
Kamera Utama200MP, f/1.7, OIS (Utama)
8MP, f/2.2 (Sudut ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (Makro)
Xiaomi ProCut, Xiaomi ProFocus, video 8K, video HDR10+
Kamera Swafoto20MP, f/2.2
Bateri5,000 mAh
Pengecasan berwayar 120W
SIM/TelefoniDwi SIM nano
NFCAda
AudioStereo, Dolby Atmos – Harmon/Kardon
Kalis AirIP53
Sistem ImbasanImbasan jari bawah skrin
Harga JualanRM 2699 (8/256 GB)
RM 2999 (12/256 GB)

Rekaan Xiaomi 12T Pro ini dilihat mirip dengan Xiaomi 12 Pro. Jika dibandingkan secara bersebelahan, tidak banyak pun bezanya kecuali pada skrin. Peranti ini mempunyai skrin yang lebih rata, kemudian pada kekisi pembesar suara ia menggunakan rekaan lubang biasa berbanding Xiaomi 12 Pro yang lebih unik.

Skrin peranti adalah 6.67″ CrystalRes AMOLED DotDisplay, yang menyokong kadar segar semula AdaptiveSync 30Hz sehingga 120Hz, serta boleh memaparkan kandungan HDR10+ dan Dolby Vision. Peranti mempunyai rekaan rata tidak seperti pada 12 Pro yang melengkung pada kedua-dua sisi. Rekaan in lebih baik pada hemat saya kerana tiada isu video atau visual permua melimpah ke tepi yang agak mengganggu.

Xiaomi turut mengekalkan ciri dalam MIUI 13 di mana video di YouTube dan Netflix boleh dipertingkatkan lagi seperti 2K Upscale, ubah jenis warna, menjadikan pergerakan lebih lancar dan banyak lagi. Sepanjang penggunaan saya, skrin pada peranti ini adalah antara yang terbaik pernah saya gunakan.

Xiaomi 12T Pro turut dijana dengan cip pemprosesan yang paling berkuasa untuk Android setakat ini, iaitu Snapdragon 8+ Gen 1 dan dipadankan dengan memori 8GB atau 12GB RAM serta storan dalaman 256GB. Kamera peranti adalah 200MP utama, pertama untuk peranti Xiaomi yang dipadankan dengan dua sensor asas iaitu 8MP dan 2MP untuk sudut ultra lebar serta makro.

Butang kuasa dan laras audio terletak di sisi kanan bingkai logam peranti. Pada bahagian atas terdapat pula pemancar infra merah bersama dengan satu kekisi audio. Sementara itu di bahagian bawah pula terdapat satu kekisi audio, port USB-C dan talam SIM. Talam ini menyokong dwi-SIM bersaiz nano tetapi tiada sokongan untuk kad mikro SD.

Walaupun di atas kertas spesifikasi 12T Pro jatuh dalam kategori mercu, ia walau bagaimanapun tidak mempunyai sebarang kemampuan kalis air (kalis percikan IP53 sahaja). Tubuh peranti ini adalah sedikit tebal kerana penggunaan bateri 5000 mAh yang agak besar. Sungguhpun begitu ia masih lagi selesa apabila diletakkan dalam kocek seluar.

Peranti juga cukup tegap. Bingkai logam yang mengelilingi peranti adalah cukup tegap kerana kami menghadapi kesukaran untuk melenturkan tubuh walaupun tekanan yang tinggi dikenakan. Di awal ulasan ini kami katakan rekaan 12T Pro banyak berkongsi dengan 12 Pro tetapi perbezaan paling ketara terletak pada bonggol kamera yang kini berbentuk empat segi sama bukannya bulat pada 12 Pro.

Bonggol ini adalah agak besar dan dalam konfigurasi dua tingkat. Ini menjadikan peranti mustahil diletakkan rata di atas meja. Xiaomi memberikan sebuah kerangka silikon dengan setiap pembelian untuk melindungi bonggol serta lensa kamera.

Penggunaan Dan Perisian

Sejak Xiaomi 12 Lite, saya sedari MIUI 13 yang dibina berasaskan Android 12 menjadi semakin baik. Paling saya suka adalah tiada lagi masalah notifikasi. Banyak ciri dan fungsi pada peranti adalah masih lebih kurang sama dengan mana-mana peranti Xiaomi yang premium. Contoh, Xiaomi 12T Pro ini menyokong pengecasan pantas 120W HyperCharge, jadi Boost Charging Speed dan Optimized Charging disertakan bagi mengawal kadar pengecasan agar peranti tidak memanas dan kesihatan bateri terjamin.

Seperti Xiaomi Mi 11, Xiaomi turut meneruskan kemampuan pengimbas cap jari bawah skrin yang boleh mengimbas nadi. Ia turut mempunyai Front Camera Assistant untuk aplikasi terpilih agar kamera swafoto mempunyai kualiti yang lebih baik ketika sesi panggilan video atau rakaman video. Pada unit ulasan saya yang menggunakan memori 8GB RAM ini, ciri Memory Extension iaitu memori maya hanya dihadkan kepada 3GB RAM – menjadikan peranti sedikit lebih baik.

Xiaomi 12T Pro turut mengekalkan ciri Game Turbo yang boleh memastikan peranti boleh mengendalikan pelbagai permua. Dalam ujian saya, permua seperti Asphalt 9 dengan tetapan grafik tinggi dan 60FPS ia boleh berjalan dengan lancar dan dalam beberapa sesi permainan peranti pun tidak memanas. Permua dengan grafik lebih tinggi seperti PUBG Mobile, ia juga boleh main pada tetapan tinggi tetapi peranti akan sedikit memanas. Walaupun begitu, prestasi masih lancar dan peranti masih boleh dipegang tanpa masalah.

Penanda Aras

Saya sedari, sejak kebelakangan ini peranti yang menjalankan sistem operasi berasaskan MIUI ada masalah pada pengurusan memori. Misalnya apabila saya membuka pelayar web Microsoft Edge dan melayari web atau menulis artikel, selepas sekitar 2-3 minit ke skrin utama atau membuka aplikasi lain, Edge akan mula semula dan menyegarkan laman web yang sedang saya buka. Tetapi apabila permua dimainkan, masalah ini dilihat tidak berlaku begitu juga dengan melakukan ujian penanda aras.

Untuk Xiaomi 12T Pro, AnTuTu 3D mencatatkan skor 1,071,162 dan Geekbench 5 pula boleh mencapai 1,314/4,322 untuk satu teras dan multi-teras. Ini adalah skor yang cukup baik untuk peranti 8GB RAM dan Snapdragon 8+ Gen 1 atau 11GB RAM jika memori maya turut dikira memainkan peranan penting.

AnTuTu 3D
  • Xiaomi 12T Pro: 1,071,162
  • OnePlus 10T: 918,160
  • ROG Phone 6 Pro: 1,099,5132 
Geekbench 5
  • Xiaomi 12T Pro: 1314/4322
  • OnePlus 10T: 1040/3485
  • ROG Phone 6 Pro: 1312/4191

Cukup aneh sekali, OnePlus 10T dengan 16GB RAM mempunyai skor yang lebih rendah. Manakala bagi Asus ROG Phone 6 Pro dengan memori 18GB RAM dan sistem penyejukan terbina untuk permua pun mempunyai skor yang lebih kurang sama. Di sini hanya ada satu kesimpulan, MIUI menipu dalam penanda aras ataupun kuasa CPU dan GPU dihadkan.

Telefoni Dan GPS

Amat jarang sekali saya meletakkan kad SIM utama saya dalam peranti yang hanya diuji dalam masa 1-2 minggu. Tetapi entah kenapa hati tergerak untuk menjadikan Xiaomi 12T Pro sebagai peranti harian saya dan mengejutkan data mudah alih mempunyai prestasi yang sangat baik, lebih baik berbanding iPhone 13 Pro saya. Panggilan telefon juga jelas dan kuat, membuatkan saya selesa menggunakan peranti ini. GPS pada peranti juga lancar dan sentiasa dapat mengunci lokasi dan memberi arahan selok-belok dengan baik dan tepat.

Kamera

Xiaomi memuatkan banyak ciri kamera peranti mercu mereka dalam Xiaomi 12T Pro. Harga pun sudah menghampiri RM3000, jadi adil pada saya untuk Xiaomi menyertakan ciri seperti Xiaomi ProFocus, 200MP Xiaomi ProCut, rakaman video 8K dan HDR10+. Tetapi ciri paling unik pada kamera peranti ini adalah sensor utama kamera yang digunakan ialah Samsung ISOCELL HP1 200MP. Kali pertama Xiaomi menggunakannya.

Dalam ujian saya, kamera 200MP ini hebat jika pada manusia atau objek yang jaraknya cukup dekat. Kerana jika ada bangunan atau subjek yang jauh, pasca-proses akan menajamkan gambar menjadikan hasilnya sukar untuk diterima. Tetapi pada waktu malam, kamera peranti ini dilihat cukup baik menyimpan butiran dan juga kesan kabur di belakang. Malah dalam perbandingan dengan iPhone 14 Pro yang menggunakan sensor 48MP, Xiaomi 12T Pro dilihat mempunyai kualiti yang lebih baik.

Untuk suasana lain, kamera 200MP juga dilihat cukup hebat. Ia mempunyai hasil yang memuaskan, fokus yang lebih baik dan warna yang lebih tajam serta berkualiti tinggi. Cuma masalah yang saya temui adalah, sebaik sahaja beberapa gambar 200MP diambil peranti akan mula menjadi suam dan saya yakin jika lebih masa diluangkan untuk ambil gambar dan rakam video peranti akan berlaku pemanasan yang melampau.

Mod sudut ultra lebar dan makro hanya menggunakan sensor 8MP dan 2MP yang asas yang boleh ditemui pada banyak peranti kelas pertengahan sekarang. Jadi hasilnya adalah baik sahaja untuk peranti dalam kelas ini dan tidak membuatkan saya teruja. Kamera swafoto juga sama, sejak tahun lepas sudah banyak peningkatan yang dilakukan oleh Xiaomi, cuma perlu pastikan mod kecantikan dimatikan jika imej akan kelihatan terlalu lembut dan palsu.

Bateri

Bateri pada peranti ini juga dilihat cukup hebat. Tetapi Xiaomi 12T Pro yang masih menjalankan MIUI 13 ini dilihat tidak lagi memaparkan kadar SOT seperti peranti Xiaomi lain. Saya tidak pasti kenapa atau ada pepijat. Walaupun begitu, ketahanan bateri ini adalah lebih baik dari Xiaomi 12, Xiaomi Mi 11 yang pernah saya uji.

Dalam penggunaan ringan saya boleh dapat sekitar 9 jam SOT, manakala jika ada penggunaan kamera yang banyak, penstriman video, permua dan kerap aktif di media sosial SOT adalah sekitar 6-7 jam. Pengecasan pada peranti ini juga amat pantas, iaitu 120W HyperCharge yang boleh mengecas peranti dari 0% ke 100% dalam masa kurang 20 minit.

Audio

Kualiti audio pada pembesar suara peranti ini juga cukup hebat dengan mampu memberikan audio yang lebih mantap, lantang dan jelas. Aplikasi penstriman muzik seperti Apple Music dan penstriman video Netflix memberikan saya pengalaman penggunaan yang memuaskan serta mengasyikkan. Sepanjang menggunakan peranti ini kurang lima kali saya sambungkan aksesori audio Bluetooth kerana berpuas hati dengannya.

Pesaing

Xiaomi 12 ProOnePlus 10TiPhone 14 Pro
6.67″ CrystalRes AMOLED 2K+ (446 ppi),120Hz, HDR10+, Dolby Vision6.7″ Fluid AMOLED, 2412 x 1080 FHD+ (394 ppi), 120Hz, HDR10+6.7″ Super Retina XDR OLED, 120Hz, Dolby Vision
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1x 3.19 GHz Cortex-X2
3x 2.75 GHz Cortex-A710
4×1.80 GHz Cortex-A510
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1x 3.19 GHz Cortex-X2
3x 2.75 GHz Cortex-A710
4×1.80 GHz Cortex-A510
Apple A16 Bionic (4nm)
2 X 3.46 GHz Everest
4 X 2.02 GHz Sawtooth
Adreno 730Adreno 730Apple GPU 5 Teras
8/12 GB RAM LPDDR5
256 GB UFS 3.1
16 GB RAM LPDDR5
256 GB UFS 3.1
6 GB LPDRR5
256/512/1000 GB NVMe
200MP, f/1.7, OIS (utama)
8MP, f/2.2 (sudut ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
50MP, f/1.8 (utama)
8MP, f/2.2 (sudut ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
8MP, f/1.8, OIS (utama)
12MP, f/2.8, OIS, 3x Zum Optikal (telefoto)
12MP, f/2.2 (sudut ultra-lebar)
20MP, f/2.2
Xiaomi Selfie Glow
16MP, f/2.412MP, f/1.9
Tiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mm
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5,000 mAh
Pengecasan pantas 120W
4,800 mAh
Pengecasan pantas 150W
4,3,23mAh
Pengecasan pantas 20W
Harga bermula RM 2699Harga RM3,199Harga bermula RM 5799

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.

  • 1x Xiaomi 12T Pro
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Pengecas 120W.
  • 1x Kerangka silikon
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM

Kesimpulan

Xiaomi 12T Pro adalah sebuah peranti mercu yang cukup hebat. Ia mempunyai skrin berkualiti tinggi dengan kadar segar semula yang tinggi dan paparan HDR Dolby Vision yang jarang disokong pada peranti Android. Kualiti kamera juga cukup hebat, malah jurugambar kami di Amanz juga lebih gemarkan kamera peranti ini berbanding iPhone 14 Pro untuk fotografi.

Pada saya mereka yang belum membeli Xiaomi 12 atau Xiaomi 12 Pro, kedua-dua peranti ini boleh dilangkau jika rekaan dan binaan peranti tidak begitu penting buat anda. Peranti ini boleh dikatakan adalah alternatif kepada Xiaomi 12S Ultra yang tidak dijual di Malaysia untuk mereka yang ingin cuba kehebatan kamera Xiaomi. Saya yakin anda tidak akan menyesal jika menggunakan peranti ini. Peranti ini dijual pada harga RM2,699 untuk variasi 8/256 GB dan RM2,999 untuk 12/256 GB.

Pro

  • Skrin yang cukup hebat, cantik dan pantas.
  • Prestasi yang memuaskan dan lancar.
  • Kamera 200MP yang memuaskan dan mencabar iPhone 14 Pro.
  • Bateri yang tahan lama dengan pengecasan yang sangat pantas.
  • MIUI 13 yang semakin baik dan tiada masalah yang kerap berlaku.

Kontra

  • Rekaan yang dikitar semula berkali-kali.
  • Rakaman video yang masih tidak memuaskan walaupun sudah lebih baik.
  • Peranti yang mudah memanas ketika kamera 200MP digunakan.

komen


© Amanz / 2022 Kami