Oleh kerana Meta kini dilihat menghadapi masalah keuntungan, dan dijangka tidak akan menambah jumlah pekerja dalam beberapa bulan ini, pelbagai platform media sosial mereka dijangka akan perlu menambah pendapatan secepat yang mungkin.

Instagram telah dilaporkan salah satu platform tersebut. Platform media sosial gambar dan video tersebut dilaporkan akan menambahkan jumlah iklan pada platform tersebut. Sebelum ini, iklan dapat diperlihatkan melalui susur masa pengguna dan juga Instagram Stories.
Di masa akan datang, terdapat kebarangkalian bahawa Instagram akan menambahkan lagi iklan di bahagian-bahagian lain aplikasi, seperti laman Explore dan juga laman profil pengguna. Malah, Instagram dijangka akan memperkenalkan program berbayar dimana pengguna akan menerima potongan pendapatan daripada iklan-iklan yang diperlihatkan pada susur masa profil mereka.
Iklan-iklan baru juga mungkin akan diperlihatkan didalam Facebook Reels tidak lama lagi, yang mana iklan 4-10 saat akan dimainkan selepas sebuah video Reels habis dimainkan.

Lebih menarik lagi, Instagram dan Facebook juga dilihat akan menggunakan teknologi kecerdasan buatan dan realiti terimbuh untuk memperkenalkan iklan-iklan yang lebih canggih dan cenderung dalam mengaktifkan pengguna untuk menjadi pembeli.
Ia tidak mengejutkan untuk melihat iklan-iklan yang lebih “imersif” apabila melayari Facebook dan Instagram tidak lama lagi.