Cari @ Amanz

Hadiah Nobel Kimia 2022 dianugerahkan kepada Barry Sharpless, Morten Meldal dan Carolyn Bertozzi kerana sumbangan mereka dalam bidang kimia klik. Kimia klik mempermudahkan proses menghasilkan sebatian kimia di makmal. Antara isi dengan bidang kimia konvensional ialah menghasilkan semua sebatian kimia semula jadi dalam makmal dalam jumlah yang diperlukan.

Pelbagai reaksi dan langkah yang diambil untuk menghasilkan bahan kimia di makmal menyebabkan pembaziran sumber dan menyebabkan berlakunya reaksi yang tidak diperlukan. Barry Sharpless mencadangkan supaya molekul sedia ada lebih kecil disambungkan menggunakan jambatan atom nitrogen atau oksigen. Bongkah molekul ini disambungkan sehingga menghasilkan sebatian kimia yang dikehendaki dengan pembaziran sumber yang lebih rendah. Beliau sekaligus mencipta kimia klik pada tahun 2001.

Morten Meldal pula menemukan reaksi copper catalysed azide-alkyne cycloaddition yang sononim dengan kimia klik. Reaksi ini menghasilkan struktur triazole yang berguna dalam industri farmaseutikal dan pertanian. Trizole terhasil apabila azide dan alkyne disambungkan menggunakan mangkin tembaga. Sekiranya ahli kimia ingin menyambungkan dua molekul, mereka hanya perlu meletakkan satu bahagian azide di molekul pertama dan satu bahagian alkyne di molekul kedua. Apabila tembaga diperkenalkan, dua molekul ini akan bersambung menerusi struktur triazole.

Akhir sekali Carolyn Bertozzi menyedari potensi kimia klik dalam bidang perubatan. Tetapi tembaga adalah toksik kepada sel hidup yang menjadikan reaksi copper catalysed azide-alkyne cycloaddition tidak sesuai digunakan. Berdasarkan kajian beliau, Bertozzi mencipta strain-promoted alkyne-azide cycloaddition yang membolehkan molekul disambungkan tanpa penggunaan tembaga.

Ini membolehkan beliau menghasilkan antibodi yang menyerang glycans yang melindungi tumor kanser dari sistem imun tubuh. Antibodi pertama menyerang glycans pada tumor kanser. Selepas rintangan pertama diatasi, antibodi kedua boleh diperkenalkan dengan ia disambungkan kepada antibodi pertama dengan menggunakan kimia klik. Ini diharap akan menjurus kepada rawatan kanser yang berkesan di masa hadapan.

Oleh sebab usaha Barry Sharpless, Morten Meldal dan Carolyn Bertozzi dalam bidang kimia klik, ketiga-tiganya dianugerahkan Hadiah Nobel Kimia 2022.Barry Sharpless juga menjadi individu ke lima dalam sejarah Hadiah Nobel memenanginya sebanyak dua kali selepas John Bardeen, Marie Curie, Linus Pauling dan Frederick Sanger. Kali pertama beliau menerima Hadiah Nobel ialah pada tahun 2001 juga dalam bidang kimia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd