Peranti Boleh Pakai Akan Datang Daripada Amazfit Tertiris – Amazfit Falcon

Diterbitkan pada Okt 6, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Amazfit mempunyai rangkaian peranti boleh-pakai tersendiri dan setiap satu daripadanya mempunyai fokus serta tarikan masing-masing. Terbaru seutas jam pintar akan datang daripada Amazfit telah tertiris menerusi perkongsian GSMArena. Dua video yang dimuat-naik bukan sekadar memperlihatkan reka bentuk sepenuhnya, malahan fungsi yang disokong.

Dikenali sebagai Amazfit Falcon, ia adalah sebagai seutas jam tangan tahan lasak premium seumpama Amazfit T-Rex 2 sebelum ini. Muka jam berbentuk bulat bersama dua butang fizikal pada sisi kanan digunakan. Seperti biasa kita boleh menjangkakan butang-butang berkenaan boleh digunakan untuk kawalan menyeluruh pada jam tangan ini. Kemudian, tali jam pula dilihat seakan menggunakan bahan berasaskan silikon.

Dari segi fungsi, ia dimuatkan dengan sejumlah sensor pengesanan kesihatan utama termasuk pemantauan tekanan, kadar degupan jantung sepanjang hari, Spo2 dan banyak lagi. Ia turut boleh disambungkan pada peranti pintar untuk kemas kini data harian lebih menyeluruh, di samping menyokong aplikasi pihak ketiga seperti Strava dan Adidas Running.

Turut disertakan adalah lebih 150 pilihan mod sukan terbina, di samping sambungan untuk GPS dan ciri navigasi masa nyata untuk pengesanan lebih tepat. Tidak ketinggalan, storan terbina sehingga 4GB turut disertakan yang membolehkan pelbagai muzik dimuat-turun, selain boleh memainkan semula. Ketahanan bateri pula didakwa mampu bertahan sehingga 2 minggu.

Jam tangan ini dijangka diperkenalkan pada 13 Oktober ini.

komen


© Amanz / 2022 Kami