Siri Infinix Zero Book Kini Rasmi Dengan CPU Intel Gen-12 Dan GPU Intel Iris Xe

Diterbitkan pada Okt 6, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Kepelbagaian komputer riba di pasaran ketika ini membuka peluang kepada pengguna untuk memilih mengikut keperluan. Terbaru dua komputer riba Infinix telah dilancarkan di bawah siri Zero Book dengan rekaan dan sebilangan besar perkakasan dalaman yang sama. Perbezaan ketara hanya terletak pada penggunaan CPU, memori dan storan terbina.

Melaluinya Infinix Zero Book Ultra dilengkapi CPU Intel i9-12900H dengan padanan memori 32GB LPDDR5 RAM dan storan dalaman mencapai 1TB NVMe PCIe 4.0 SSD. Sementara itu Infinix Zero Book pula menggunakan CPU Intel Core i7-12700H, memori 16GB LPDDR5 RAM dan storan dalaman terbina mencapai 1TB NVMe PCIe 4.0 SSD.

Lain-lain spesifikasi adalah sama dengan skrin sebesar 15.6-inci LCD beresolusi 1920 x 1080 piksel dan nisbah aspek 16:9. Turut disertakan adalah GPU Intel Iris Xe, di samping teknologi Overboost yang membolehkan prestasi dipertingkatkan. Sistem penyejukan Ice Storm 2.0 yang terdiri dengan dua plat dan reka bentuk sirip jerung turut disertakan untuk pengaliran haba lebih baik.

Kamera web FHD terbina turut menyokong kebolehan kecantikan berasaskan AI. Dalam masa sama, pembesar suara komputer riba ini disertkan dengan pembatalan bunyi AI yang mampu menapis bunyi latar belakang sekaligus memaksimumkan kelantangan audio. Kapasiti bateri pula adalah 70Wh. Untuk harga, Infinix Zero Book dijual bermula US$ 799 (~RM3,699), sementara itu model Ultra pula berharga bermula US$999 (~RM4,625).

komen


© Amanz / 2022 Kami