Selepas mengatakan beliau enggan meneruskan pembelian Twitter pada Ogos lalu kerana tidak percaya dengan dakwaan platform mempunyai jumlah bot yang tinggi, Elon Musk kini ingin meneruskan semula hasrat asal beliau pada nilai $44 bilion. Menurut laporan New York Times, sebelum bersetuju membeli semula Twitter, Musk cuba mendapatkan potongan harga sehingga 30%.

Twitter menolak tawaran Musk sebelum beliau kembali semula dengan permintaan pengurangan harga sebanyak 10% pula yang turut ditolak. Pembelian Twitter menurut Musk ialah langkah mempercepatkan pembangunan X yang akan menjadi aplikasi semua dalam satu. Terdapat spekulasi sekiranya pembelian berjaya dimuktamadkan, CEO Twitter Parag Agrawal akan digantikan dengan Musk secara sementara. Kedua-dua individu ini bertikam lidah secara terbuka di Twitter selepas pengumuman pembelian dilakukan.