Ulasan – Paparan Gaming ASUS ROG SWIFT OLED PG42UQ Paling Besar, Paling Menawan

Diterbitkan pada Dis 12, 2022. oleh .

Anda kini sudahpun memiliki komputer gaming yang paling berkuasa dengan komponen-komponen CPU dan kad grafik yang terbaru, ataupun mempunyai konsol permainan video Sony PlayStation 5 dan Xbox Series X yang mampu menawarkan resolusi dan kualiti permainan yang terbaik.

Tetapi sayangnya anda masih lagi menggunakan paparan skrin Full HD yang tidak dapat memanfaatkan ciri-ciri seperti resolusi 4K, teknologi HDR dan juga Variable Refresh Rate.

ASUS Malaysia baru-baru ini telah memperkenalkan paparan skrin paling besar dan paling gah mereka untuk para gamer tempatan yang mahukan sebuah paparan skrin yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan gaming dan juga tontonan kandungan video yang tiada tolok bandingan.

Rekaan dan Spesifikasi

ASUS ROG SWIFT OLED PG42UQ
Skrin42″ OLED
Sokongan Warna1.07 Bilion warna
DCI-P3 98%
HDR 10
Nisbah Kontras700 : 1
Kecerahan300 cd/m²
Masa Tindak Balas5ms
Sokongan Paparan AdaptifAda
CagakVESA
I/O2x HDMI 2.1, 2x HDMI 2.0, 2x Display Port 1.4
4x USB-A, 1x USB UP,
1x port bicu audio 3.5mm
AudioSpeaker stereo 10W x2, Subwoofer 5W x1
USB4x USB-A 3.0
Kamera WebTiada
HargaHarga saranan RM 7998

Anda mungkin akan menyangkakan bahawa ASUS ROG SWIFT OLED PG42UQ ialah sebuah televisyen berdasarkan saiznya sahaja. Paparan skrin ini adalah sebahagian daripada jenis paparan skrin BFGD ataupun Big Format Gaming Display. yang mana ia adalah sebuah paparan skrin komputer bersaiz besar yang tampil dengan pelbagai ciri-ciri yang sangat berguna untuk mereka yang memiliki komputer gaming ataupun konsol permainan yang berkuasa.

Paparan skrin ini tampil dengan saiz 42 inci, resolusi 4K dengan kadar segar semula 120Hz yang boleh dilewahjam ke 138Hz menggunakan satu butang sahaja. Dari segi kualiti paparan, ia menggunakan paparan OLED dengan lapisan anti-silau, yang memberikannya permukaan matte.

Paparan ROG Swift OLED PG42UQ ini mampu memaparkan 98 peratus daripada gamut warna DCI-P3, kejituan warna Delta E < 2 dan tampil dengan sokongan untuk NVIDIA G-SYNC bersama-sama dengan AMD FreeSync Premium Pro.

Dari segi pilihan palam, paparan skrin ini tampil dengan sejumlah palam input yang banyak, termasuklah dua palam HDMI 2.1, dua palam HDMI 2.0, dua palam DisplayPort 1.4 dan sejumlah palam USB 3.2 Type-A.

Bukan itu sahaja, paparan ROG Swift OLED PG42UQ ini juga hadir dengan sistem pembesar suara terbina, dan jika anda masih lagi mahu menggunakan pembesar suara anda sendiri, anda boleh memilih untuk menggunakan palam audio 3.5mm ataupun SPDIF Out sekiranya pembesar suara anda menyokongnya.

Dari segi rekaan, paparan skrin ROG Swift PG42UQ ini sangat nipis dan walaupun mempunyai saiz yang besar, ia tidak memakan begitu banyak ruang dari segi ketebalan. Lebih daripada itu, bekalan kuasa paparan ini dimuatkan terus kedalam bahagian paparan, jadi anda hanya perlu menyambungkan kabel kuasa terus ke paparan dan soket kuasa.

Untuk aksesori pula, paparan ini disertakan bersama-sama kabel-kabel HDMI 2.1 dan DisplayPort 1.4 dan juga pengawal jarak jauh yang boleh digunakan untuk menukar input sekiranya anda menggunakan paparan ini sebagai sebuah televisyen.

Akan tetapi disini mungkin dimana salah satu kelemahan terbesar paparan ASUS ROG SWIFT PG42UQ ini dapat diperlihatkan. Ia tidak hadir dengan sebarang sistem operasi terbina seperti Android/Google TV dan sebagainya, dan jika anda mahukan fungsi-fungsi ini, anda akan perlu menyambungkan sebuah peranti Android/Google TV ke paparan ini untuk mengakses aplikasi-aplikasi seperti YouTube, Netflix, Disney+ Hotstar dan sebagainya.

Pemasangan

Satu perkara yang saya mahu perkatakan ialah paparan skrin ROG Swift PG42UQ ini mungkin akan memerlukan bantuan sekurang-kurangnya satu orang tambahan untuk memasangnya kerana anda mahu memastikan bahawa anda tidak menjatuhkan ataupun mencalarkan paparan skrin ini secara tidak sengaja apabila mengangkatnya.

Saranan kami ialah anda mengeluarkan paparan ini keluar daripada kotaknya terlebih dahulu dan tidak mencabut penutup paparan dan memasang tapaknya terlebih dahulu. Bergantung kepada kedudukan meja, anda juga mungkin mahu memasang kabel-kabel terlebih dahulu sebelum menegakkannya di kedudukan akhir.

Pengalaman Pengguna

Sepanjang saya di Amanz, saya berpeluang menggunakan sejumlah paparan skrin gaming dan juga televisyen OLED bersaiz besar, dan boleh saya katakan bahawa saya sangat suka menggunakan paparan skrin gergasi terbaru yang ditawarkan oleh ASUS ini.

Salah satu masalah terbesar paparan skrin ataupun televisyen yang menggunakan skrin OLED ialah isu silau. Seperti yang dikatakan sebelum ini, model ROG SWIFT PG42UQ ini menggunakan permukaan matte untuk memastikan bahawa masalah ini tidak berlaku, membolehkan panel ini digunakan tidak kira didalam bilik yang gelap, ataupun ruang tamu yang mempunyai pencahayaan semulajadi yang cukup banyak sekali.

Isu dengan permukaan matte pula ialah ia akan berasa sukar untuk mendapatkan olahan warna yang benar-benar jitu, walaupun ASUS mengatakan bahawa paparan ini mampu memaparkan 98 peratus gamut warna DCI-P3 dan mempunyai kejituan warna delta E<2.

Sebagai sebuah paparan skrin gaming, saya menguji paparan ini dengan menggunakan sebuah komputer riba gaming berkuasa tinggi dan juga konsol Sony PlayStation 5 yang mana mereka boleh memanfaatkan fungsi-fungsi berbeza pada paparan ini, seperti NVIDIA G-SYNC dan juga Variable Refresh Rate, digabungkan dengan paparan OLED yang menjanjikan olahan warna yang cantik sekali.

Dengan komputer, saya menguji permainan ini dengan Shadow of The Tomb Raider, dan selain daripada tumpuan grafik yang tajam olahan warnanya juga dilihat sangat cantik sekali, dan tidak pernah sekalipun saya melihat carikan grafik walaupun apabila dimainkan pada resolusi 4K.

Dengan konsol PlayStation 5, saya memainkan permainan God of War, dan melalui permainan ini saya dapat melihat konsol ini memanfaatkan gabungan resolusi 4K dan juga paparan OLED yang menggabungkan ciri HDR juga, memperlihatkan hitam yang benar-benar gelap dan silauan matahari yang benar-benar cerah.

Jika anda mempunyai komputer ataupun konsol permainan yang cukup berkuasa untuk menggerakkan kandungan permainan video dan komputer dengan paparan ini, berani saya katakan bahawa ASUS ROG SWIFT PG42UQ ialah diantara paparan skrin gaming yang terbaik pernah saya gunakan.

Saya juga sempat menggunakan Netflix melalui konsol PlayStation 5 saya untuk menonton beberapa dokumentari yang memanfaatkan fungsi HDR dan saya akan katakan bahawa olahan warna kandungan pada platform penstriman ini dengan paparan ini sangat baik juga.

Malah paparan ini bukan sahaja hebat dari segi kebolehan memaparkan grafik yang tajam dan warna yang jitu, tetapi juga dari segi audio. Saya biasanya akan menggunakan pembesar suara sendiri untuk dipadankan bersama dengan mana-mana paparan skrin yang saya akan gunakan, tetapi dengan ASUS ROG SWIFT PG42UQ ini, ia tidak diperlukan.

Kualiti pembesar suara paparan ROG SWIFT PG42UQ ini pada pendapat saya setaraf dengan televisyen-televisyen moden yang ditawarkan di pasaran sekarang, yang mana ia secara langsung menjadikannya sebuah paparan yang boleh diletakkan di ruang tamu sebagai sebuah televisyen jika anda mahukan.

Paparan skrin ini juga hadir dengan beberapa mod gaming yang boleh mengubah saturasi warna bergantung kepada kandungan yang sedang dimainkan, tetapi saya cukup gembira menggunakan paparan skrin ini pada mod asalnya. Mengubah input paparan juga cukup mudah menggunakan butang di bahagian bahawa paparan ini, ataupun dengan alat kawalan jauh yang disertakan.

Satu kelemahan utama yang saya perasan mengenai paparan ini ialah kejituan warnanya akan jatuh apabila paparan ini dipandang pada sudut yang serong. Warna putih akan lihat lebih kekuningan, dan kami jangkakan bahawa ini adalah kerana lapisan matte yang digunakan untuk mengelakkan masalah silau pada paparan OLED ini.

Bergantung dimana anda meletakkan paparan skrin ini, perkara ini samada tidak akan menjadi masalah untuk anda ataupun ia adalah sesuatu yang akan menjadi isu yang menjengkelkan. Nasihat saya ialah sekiranya anda berminat untuk mendapatkan paparan skrin gaming ini untuk cuba lihat jika anda boleh mengujinya terlebih dahulu di mana-mana kedai sebelum membelinya.

Berbaloikah Membelinya?

Pada harga melangkaui RM7000, anda mungkin merasakan bahawa ada pilihan televisyen pintar yang lebih berbaloi berbanding dengan paparan skrin gaming gergasi yang ditawarkan ASUS ini. Ini mungkin benar sekiranya anda hanya mengambil kira sokongan untuk konsol permainan, tetapi jika anda seseorang yang mahu membina kubu gaming yang boleh memanfaatkan kedua-dua konsol dan komputer desktop yang berkuasa, ASUS ROG SWIFT PG42UQ ini adalah diantara paparan gaming terbaik di pasaran sekarang.

Ia juga hadir dengan resolusi 4K dengan kadar segar semula 120Hz yang boleh dimanfaatkan melalui palam HDMI 2.1, menyokong teknologi Variable Refresh Rate dan juga NVIDIA G-SYNC khususnya dengan komputer-komputer yang menggunakan kad grafik berkuasa seperti NVIDIA GeForce RTX 3090 ataupun GeForce RTX 4090 yang baru sahaja mula dijual di pasaran.

Paparan skrin ini boleh dikatakan sebagai pelengkap premium kepada sistem komputer dan konsol gaming anda, khususnya dengan kualiti imej dan juga audio yang pada pendapat saya hanya ditandingi oleh televisyen-televisyen pintar kelas premium juga.

Pro:

  • Sesuai untuk komputer gaming desktop dan juga konsol permainan video yang terbaru
  • Kualiti olahan warna dan grafik yang mantap
  • Kualiti audio yang nyaring dan sedap didengari
  • Rekaan serba nipis
  • Aksesori lengkap dengan kabel dan alat kawalan jauh

Kontra:

  • Pemasangan mungkin memerlukan bantuan orang kedua
  • Olahan warna tidak begitu jitu apabila dipandang dari sisi
  • Mungkin terlalu besar sekiranya dimuatkan diatas meja khusus untuk komputer

komen


© Amanz / 2023 Kami