Google Pixel Watch Dilancarkan Dengan Skrin Bulat Dan Integrasi Fitbit

Diterbitkan pada Okt 6, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Google Pixel Watch dilancarkan sebentar tadi semasa acara Made By Google. Tiada apa-apa lagi yang misteri mengenai jam tangan pintar Wear OS 3.5 ini kerana rekaannya secara rasmi didedahkan oleh Google sendiri ketika Google I/O. Pixel Watch hadir dengan skrin 1.6″ OLED berbentuk bulat dengan kaca Gorilla Glass 5 3D.

Ini mempunyai tubuh sebesar 41mm sahaja kerana tiada versi lain ditawarkan seperti yang dilakukan oleh Samsung dan Apple. Jam menggunakan cip Exynos 9110 yang sudah berusia empat tahun tetapi dipadankan dengan 2GB RAM, dan bateri 294 mAh yang boleh bertahan sehingga 24 jam dengan sekali caj.

Tubuh aluminium bulat turut mempunyai tombol berputar dan satu lagi butang navigasi pada sisi kanan. Konfigurasi butang yang lebih mirip Apple Watch berbanding Galaxy Watch5 yang turut menggunakan Wear OS. Selain itu Pixel Watch turut mempunyai pemproses Cortex M33 sekunder yang berkuasa rendah bagi menjimatkan penggunaan bateri ketika mod Always on Display. Sokongan LTE selular turut diberikan menggunakan eSIM.

Sensor yang hadir ialah pengimbas nadi, penjejakan tidur dan juga ECG. Pelbagai aktiviti sukan boleh dijejak bersama dengan pola tidur pemakai. Keseluruhan tubuh melepasi piawaian kalis air sehingga 5 ATM. Terdapat integrasi sistem Fitbit yang telah dibeli oleh Google beberapa tahun lalu. Dengan ini penjejakan nadi dan tidur yang lebih tepat dapat dicapai menurut Googe. Seperkara lagi yang agak menarik ialah Pixel Watch yang menyokong peranti Android sahaja.

Terdapat beberapa pilihan tali seperti bahan silikon, logam, fabrik dan kulit. Terdapat alur pada sisi Pixel Watch yang digunakan untuk memasukkan tali jam. Seperti Apple Watch, tali jam ini menggunakan teknologi sendiri yang tidak membolehkan pemilik menggunakan tali jam tangan biasa. Di Amerika Syarikat Google Pixel Watch dijual pada harga bermula $349.99 (~RM1622) untuk versi WiFi dan $399.99 (~RM1854) untuk versi LTE dalam tiga kemasan utama tubuh warna Black/Obsidian, Silver/Chalk, dan Gold/Hazel. 

komen


© Amanz / 2022 Kami