Cip Google Tensor G2 Kini Rasmi Dengan Teknologi 4nm Dan TPU Dipertingkatkan

Diterbitkan pada Okt 6, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Cip Google Tensor G2 kini dilancarkan secara rasmi dengan ia digunakan pada Google Pixel 7, Pixel 7 Pro dan Pixel Tablet. Dengan generasi kedua Google Tensor, cip kini dihasilkan menggunakan teknologi 4nm yang memberikan penjimatan tenaga yang lebih baik berbanding cip Tensor generasi pertama yang menggunakan teknologi 5nm.

Tensor G2 dilengkapi dua teras CPU Cortex-X1 2.85GHz, dua teras CPU Cortex-A76 2.35Ghz dan empat teras CPU Cortex-A55 1.8GHz. Ini adalah teras yang sama digunakan pada Tensor G1. Perubahan dilakukan pada kelajuan teras dan GPU kini bertukar ke ARM Mali G710 MP07 daripada Mali G78 MP20 sebelum ini.

Kemampuan kecerdasan buatan turut dipertingkatkan dengan TPU baharu yang membolehkan pelbagai ciri seperti melalukan alih bahasa, dan memadam objek pada gambar dilakukan dengan lebih pantas.

Dengan pertambahan kuasa, G2 boleh mempercepatkan proses mengambil gambar Night Sight dan memastikan imej yang diambil menggunakan pembelajaran mesin. Ini mengaktifkan mod Photo Unblur baharu yang boleh mengembalikan ketajaman gambar yang diambil kabur atau gambar lama yang diambil menggunakan kamera lama dengan resolusi rendah. Kesemua gambar yang diambil juga adalah pada tetapan 10-bit berbanding hanya 8-bit pada Tensor G1.

Dari segi sekuriti masih terdapat cip sekuriti Titan M2 bagi memastikan data pengguna sentiasa selamat dalam peranti. Di atas kertas peningkatan prestasi dan spesifikasi adalah sedikit tetapi Google nampaknya menumpukan kepada perisian bagi memberikan kelebihan pada peranti mereka berbanding peranti Android pengeluar lain.

komen


© Amanz / 2022 Kami