Partikel Pencemaran Udara Ditemukan Pada Tisu Otak dan Paru-Paru Bayi Dalam Rahim

Diterbitkan pada Okt 7, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pencemaran udara menyebabkan jutaan individu meninggal dunia setiap tahun. Selama ini mungkin ramai merasakan pencemaran udara ini hanya akan mendatangkan kesan kepada mereka yang terdedah dengan udara di luar. Menurut kajian terkini saintis dari University of Aberdeen di Scotland dan Hasselt University di Belgium, pencemaran udara juga mendatangkan kesan kepada bayi yang masih di dalam rahim ibu.

Partikel nano karbon yang mencemari udara telah ditemukan dalam tisu otak, paru-paru dan hati bayi di dalam rahim buat pertama kalinya oleh penyelidik dari dua universiti tersebut. Lebih merisaukan ribuan partikel ini ditemukan dan dilihat sebagai bukan jumlah yang kecil.

Penyelidik menyampaikan hipotesis partikel dihirup oleh ibu dan kerana saiznya yang kecil memasuki pula sistem darah menerusi paru-paru. Seterusnya ia memasuki tubuh fetus anak yang sedang dikandungkan.

Impak jangka pendek dan panjang partikel nano karbon dalam tisu bayi masih belum diketahui dan penyelidik menyarankan kajian lebih mendalam dilakukan. Sebelum ini partikel plastik telah ditemukan dalam darah dan paru-paru manusia buat pertama kali. Jelas pencemaran udara dan plastik yang selama ini diambil ringan oleh kita semua adalah lebih serius dari yang dijangkakan.

Kertas kajian mengenai partikel pencemaran udara pada tubuh bayi dalam rahim ini telah diterbitkan di jurnal Lancet.

komen


© Amanz / 2022 Kami