Bukan perkara luar biasa untuk melihat akaun Facebook ahli keluarga, rakan-rakan atau yang tersayang digodam. Akaun yang digodam ini akan digunakan untuk melakukan perkara-perkara yang memburukkan nama seseorang atau juga untuk mencuri data peribadi.
Meta terkini telah berkongsi lebih 400 senarai aplikasi Android dan iOS yang mereka mengesahkan mencuri butiran akaun Facebook. Aplikasi ini semuanya menawarkan ciri log masuk dengan akaun Facebook. Ia juga sukar untuk dilihat sama ada aplikasi ini boleh dipercayai atau tidak kerana, Meta mendakwa pembangun aplikasi menggunakan ulasan dan rating palsu di App Store dan Google Play Store.

Aplikasi ini menyamar sebagai penyunting gambar atau yang membolehkan pengguna mengubah imej diri sendiri kepada watak kartun, VPN yang mendakwa boleh menjadikan sambungan Internet lebih pantas, aplikasi lampu suluh, permua dengan dakwaan grafik 3D tinggi palsu, aplikasi kesihatan dan gaya hidup seperti horoskop dan penjejakan kesihatan, aplikasi mengurus iklan untuk akaun perniagaan yang tidak diiktiraf dan banyak lagi.

Menurut Meta, pembangun-pembangun aplikasi ini menggunakan perisian hasad – di mana sebaik sahaja pengguna log masuk dengan akaun Facebook mereka akan terus mendapatkan akses nama pengguna dan kata laluan. Meta turut menasihatkan pengguna untuk pastikan aplikasi yang dimuat turun benar-benar selamat dan boleh digunakan tanpa akaun Facebook, baca pendapat orang ramai dan komen termasuk yang negatif mengenai reputasi aplikasi yang ingin digunakan, dan pastikan aplikasi menawarkan ciri yang diiklankan sebelum log masuk.

Meta turut mengingatkan pengguna jika akaun Facebook telah digodam, terus tukar kata laluan dan aktifkan pengesahan dwi-faktor. Kemudian turut sentiasa berwaspada dengan notifikasi dan amaran aplikasi Facebook jika akaun diakses oleh orang lain atau daripada peranti yang tidak dikenali.
Meta turut telah memberitahu Google dan Apple mengenai kesemua aplikasi hasad ini agar keselamatan pengguna terjamin. Anda boleh senarai aplikasi ini melalui pautan di bawah;