Sistem mengesan kemalangan pada iPhone 14 telah dibuktikan berkesan mendapatkan bantuan kecemasan dengan segera. Tetapi ciri ini masih lagi baharu dan menurut laporan WSJ, beberapa pemilik siri iPhone kini melaporkan peranti menghubungi talian kecemasan ketika mereka menaiki rollercoaster.

Setakat ini enam insiden sebegini telah dilaporkan berlaku di taman tema Kings Island yang terletak di Cincinnati. Dalam rakaman audio yang didengari, polis mendengar jeritan individu sedang menaiki rollercoaster apabila panggilan automatik dilakukan iPhone 14. Pemilik tidak menyedari panggilan kecemasan dilakukan peranti kerana ia disimpan di dalam kocek.
Kerana insiden seperti ini mungkin akan berlaku lagi di masa hadapan selagi algoritma sistem tidak dikemaskini oleh Apple, pemilik iPhone 14 disarankan untuk meletakkan peranti ke mod kapal terbang sebelum menaiki sebarang tarikan di taman tema. Selain rollercoaster, permainan bumper car juga dipercayai boleh memicu pengesanan kemalangan secara tidak sengaja.