Ulasan Philips Handheld Steamer STH1000 – Seterika Wap Baik Untuk Pengguna Kali Pertama

Diterbitkan pada Okt 25, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sebagai penulis di Amanz, saya kerap hadir ke banyak acara. Ada di dalam negeri, ada di luar negeri dan kadangkala turut ke luar negara. Untuk memastikan identiti Amanz dijaga rapi, pemakaian saya juga perlu sentiasa kemas. Tetapi kadangkala jadual yang terlampau sibuk tidak memberikan saya masa yang cukup untuk menyeterika baju.

Philips Handheld Steamer STH1000 dilancarkan beberapa bulan yang lalu dan pada awalnya saya tidak tahu adakah ia peranti yang harus dibeli. Malahan saya harus katakan ini mungkin ulasan yang paling sukar ditulis kerana merupakan yang pertama sepertinya di Amanz. Maka saya aka cuba menjawab persoalan sama ada ia berbaloi ataupun tidak berdasarkan pengalaman peribadi yang kurang gemak menyeterika baju di rumah.


Spesifikasi Dan Rekaan

Philips Handheld Steamer STH1000 adalah seterika wap yang kompak sebesar hanya 9.2 x 19 x 11.3 mm dan hanya 520g. Jauh lebih ringan berbanding kebanyakan seterika di pasaran. Seterika wap Philips ini mempunyai tangki air 85ml yang boleh dicabut untuk mengisi semula air sebelum atau ketika ia sedang digunakan. Dari segi rekaan ia seperti sebuah mesin pengimbas kod bar di pasar raya. Badan diperbuat daripada plastik dengan tangkai panjang untuk dipegang.

Terdapat satu butang kecil di bahagian tangkai ini untuk memulakan proses menstim busana. Saya sedari meson boleh dipakai 35 saat selepas butang seakan picu ini ditekan. Kadar wap seterika ini adalah 18mg per minit. Philips memberi jaminan ia menyokong semua jenis fabrik dan dengan menggunakan seterika wap ini, papan seterika tidak lagi diperlukan.

Rekaannya juga ringkas, mudah dikendalikan seperti sebuah pistol air kanak-kanak. Ia diperbuat daripada plastik dan unit yang saya uji ini berwarna putih dan biru iaitu satu-satunya warna yang ditawarkan. Membuka tangkinya juga mudah.

Apa yang menarik untuk saya yang tidak suka seterika pakaian kerana leceh, berat atau jika saya ingin jujur – malas. Seterika wap ini lebih memudahkan untuk diri saya jika benar-benar ingin menampakkan diri saya lebih kemas dan segak dengan pakaian setiap hari.

Pengalaman Penggunaan

Saya bukan sahaja tidak ada masa untuk seterika pakaian, malah ia adalah satu tugasan yang saya tidak suka. Malah kebanyakan pakaian saya jika akan merantau atau akan hadiri ke acara, saya hantar ke kedai ataupun upah adik saya untuk tolong menggosok. Apabila saya diberi peluang menguji Philips Handheld Steamer STH1000 ini, saya cuba untuk menjadikan aktiviti menggosok baju ini satu perkara yang kerap kerana sampai bila saya ingin beri alasan tiada masa dan berapa ringgit perlu saya habiskan untuk mengupah orang?

Dari awal saya sudah tahu, seterika wap ini bukan untuk menggosok baju atau seluar yang renyuk. Sebaliknya ia adalah seterika wap untuk kemasan terakhir. Misalnya, baju-baju dan seluar saya sudah digosok dan saya perlu simpan ke dalam beg untuk di bawa merantau – seterika wap ini akan digunakan untuk menghilangkan kesan lipatan.

Selepas beberapa bulan menggunakan Philips Handheld Steamer STH1000, saya mendapati ia cukup membantu diri saya bagi memastikan diri sentiasa kemas. Cuma apa yang saya perasan, ia bukan seterika untuk orang yang kesuntukan masa tetapi sesuai untuk orang yang ada banyak masa.

Ini kerana walaupun ia hanya mengambil masa 35 saat untuk memanas, hanya selepas sekitar kurang satu minit proses pemanasan perlu dilakukan sekali lagi. Ini semua berlaku secara automatik, tetapi agak menyusahkan jika hanya berbaki satu kesan lipatan untuk selesai menggosok perlu tunggu lagi untuk ia memanas. Ini mungkin kerana saiznya yang kompak, air yang masuk untuk berubah menjadi wap adalah terhad.

Walaupun begitu menggunakan Philips Handheld Steamer STH1000 adalah mudah. Pertama sekali hanya perlu cabut tangki air kecil di bawahnya yang saya sedari tiada masalah kebocoran berlaku. Kemudian terus sambungkan wayar ke palam dinding dan tunggu setengah minit untuk memanas, proses menggosok terus boleh digunakan. Terdapat lampu LED memberitahu sama ada proses pemanasan sudah selesai atau sudah kehabisan wap air.

Butang pada seterika wap ini juga selesa ditekan. Paling penting ia mudah untuk dikendalikan dan tangan tidak mudah terasa lenguh. Cuma jika terlampau fokus pada satu bahagian terlampau lama, wap yang terkumpul akan membuatkan tangan rasa panas dengan cepat – tetapi bukan terlampau sehingga tidak selesa.

Kesimpulan

Sebagai pengguna kali pertama, saya rasakan ini adalah sebuah seterika wap yang kerana saiznya yang kompak dan mudah untuk dibawa ke mana sahaja. Masa memanas juga tidak lama dan mencukupi jika sekadar ingin memastikan pakaian kekal kemas jika ada renyuk atau kesan lipat. Saya tidak pernah mencuba jenama lain seperti Deerma HS200 yang mempunyai rekaan lebih cool. Tetapi Philips Handheld Steamer STH1000 ini adalah satu alternatif baik kerana ia set rasmi yang dijual di Malaysia.

Ia mampu melakukan apa yang patut, ia mudah digunakan dan pakaian saya ketika merantau atau pulang ke kampung kini sentiasa kemas. Harga jualan rasmi adalah RM139, tetapi di banyak kedai atas talian ia sudah boleh didapati pada harga bawah RM130.

Ikhlas saya katakan ia bukan pengganti seterika dan bukannya alat magis yang boleh memudahkan proses menghilangkan kedutan pada baju. Untuk menghilangkan kedutan dengan lebih baik saya masih sarankan anda membeli sebuah seterika stim kerana kebanyakan di pasaran sekarang mempunyai ciri pintar yang mengubah kepanasan wap bergantung kepada fabrik yang ingin digosok. Memang harganya lebih mahal tetapi seterika wap adalah lebih berguna dalam lebih banyak situasi (walaupun harganya lebih tinggi).

Pro

  • Ringan, kompak dan mudah di bawa ke mana sahaja.
  • Cepat panas dan boleh terus digunakan.
  • Tidak perlukan manual untuk pengguna kali pertama.
  • Harga jualan yang tidak begitu mahal.

Kontra

  • Cepat panas, tetapi cepat tamat.
  • Warna putih yang mudah kotor.
  • Bukan jenis nirwayar seperti beberapa jenama China lain.

komen


© Amanz / 2022 Kami